Politik Dan Banjir Thailand

Politik Dan Banjir Thailand

Pergelutan Thailand menghadapi banjir terburuk di negara itu dalam tempoh beberapa dekad kini memasuki arena politik dan menyerlahkan lagi keretakan mendalam politik negara itu yang masih dapat dirasai selepas lebih setahun kekacauan ganas berlaku.

:Usaha untuk menyelamatkan ibu negara Thailand daripada ditenggelami air banjir terganggu dengan mesej bercanggah daripada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dengan pihak berkuasa tempatan apabila kedua-dua pihak cuba mendapatkan markah politik, menurut pemerhati.
Pertelingkahan itu memadamkan harapan bencana tersebut akan menyatukan puak politik selepas bertahun-tahun negara itu mengalami ketidakstabilan politik sejak tentera Thailand menggulingkan abang Yingluck pada 2006.

“Ini bukan lagi isu bencana alam. Ia telah menjadi permainan politik yang ganas,” menurut pakar Institut Pengajian Asia Tenggara di Singapura, Pavin Chachavalpongpun.

“Persaingan ini, termasuk semasa kemuncak krisis, menunjukkan realiti sebenar di Thailand. Ini adalah masyarakat sangat berpecah-belah di mana ideologi politik melangkaui tanggungjawab awam dan kepentingan menyelamatkan negara”.

Krisis itu menjadi ujian besar kepada Yingluck yang baru memerintah, dua bulan lalu selepas memenangi pilihan raya dengan bantuan populariti abangnya, bekas perdana menteri yang digulingkan, Thaksin Shinawatra.

Tetapi kenyataan bercanggah diberikan musuh-musuh politik ini menggelisahkan penduduk yang semakin keliru mengenai kawasan mana di Bangkok paling berisiko ditenggelami banjir dan bagaimana cara terbaik menghadapi paras air semakin meningkat.

“Ianya sangat mengelirukan untuk mengetahui siapa yang mempunyai fakta sebenar dan siapa yang benar-benar tahu apa yang perlu dilakukan,” menurut ahli perniagaan Thailand, Aswin Kongsiri.

Perebutan kuasa secara terbuka antara Yingluck yang masih mentah dalam dunia politik dan Gabenor Bangkok, Sukhumbhand Paribatra iaitu anggota parti pembangkang, Parti Demokrat langsung tidak membantu dalam mengurangkan kekeliruan penduduk.

Apabila masing-masing sedar Bangkok akan turut terjejas daripada limpahan air banjir yang menuju ke laut, Yingluck dan Sukhumbhand segera bersilang pedang.

“Dengar cakap saya, dan hanya saya. Saya akan memberitahu anda bila masa sebenar anda perlu berpindah,” Sukhumbhand memberitahu penduduk di ibu negara itu yang menjadi kubu kuat Parti Demokrat, pertengahan bulan ini.

Yingluck pula segera membalas kenyataan Sukhumbhand itu.

“Saya mahu Gabenor Bangkok terus berusaha dengan kemampuan terbaik beliau dan saya tidak mahu mendengar bahawa operasi banjir adalah di bawah bidang kuasa Bangkok,” katanya sebelum menegaskan pusat kawalan banjir kerajaan mempunyai kuasa dalam hal ini.

Banjir di Thailand juga menunjukkan hubungan tegang antara Yingluck dan angkatan tentera negara itu yang sejak dahulu lagi menyokong Parti Demokrat serta mempunyai hubungan buruk dengan Thaksin dan penyokong beliau, kumpulan Baju Merah.

Yingluck enggan menuruti gesaan pembangkang supaya mengisytiharkan negara itu di bawah keadaan darurat, iaitu keadaan yang akan memberikan lebih banyak kuasa kepada pemimpin tentera, Prayut Chan-o-Cha.

Media pro-Thaksin juga memberi amaran mengenai kemungkinan penggulingan kuasa dilakukan oleh tentera yang mempunyai rekod panjang campur tangan dalam politik negara selain bertanggungjawab menamatkan protes besar-besaran oleh Baju Merah pada awal tahun lalu sehingga menyebabkan lebih 90 orang terbunuh.

Namun menurut Paul Chambers, tentera Thailand mungkin tidak akan menggunakan bencana itu sebagai alasan untuk melakukan penggulingan kuasa tetapi mereka dilihat cuba menghentikan banjir tanpa bekerjasama dengan kerajaan Yingluck.

Chambers, pengarah penyelidikan Pengajian Global di Institut Asia Tenggara di Universiti Payap, Chiang Mai berkata, pemimpin tentera anti-Thaksin jelas tidak bersimpati kepada perdana menteri negara itu.

Ramai juga pakar berpendapat banjir di Thailand diburukkan lagi dengan masalah salah urus alam sekitar dan pembangunan kawasan bandar yang tidak dikawal dengan baik selama ini tetapi persoalan utama kini adalah mengenai respons kerajaan terhadap bencana itu.

“Saya sebenarnya lebih mempersalahkan pekerja kerajaan,” menurut Aswin sambil menegaskan terdapat sekurang-kurangnya lima atau enam agensi besar kerajaan yang bertanggungjawab mengendalikan hal-hal berkenaan air dan banjir.

Yingluck, yang juga seorang ahli perniagaan sebelum melangkah ke dalam dunia politik turut dikecam apabila ramai pengkritik melihat wanita berumur 44 tahun itu tidak mampu membuat keputusan tepat.

Sementara permainan menuding jari itu berterusan, perpecahan dalam politik Thailand dilihat akan berterusan buat masa yang panjang selepas banjir mula surut.

“Ini adalah permainan kotor dan akan menjadi lebih kotor selepas banjir berakhir, menurut Pavan

http://hanifidrus.blogspot.com/2011/10/nuffnang-kembalikan-status-gillateri.html

Catat Ulasan

1 Ulasan

syuxer berkata…
kalau camni percaturan politik yang berlaku kat Thailand, sian rakyatnya menjadi mangsa..tak yah tuding2, terus je bagi bantuan kemanusiaan untuk atasi masalah banjir tuh