Asal Usul Syiah

Sharing daripada entri yang saya rasa paling lengkap antara semua blog yang saya baca. Memang panjang tapi berbaloi dibaca jika kita ingin mengetahu asal usul serta pecahan Syiah ini.

Agak terperinci sangat tetapi jika ingin mengenali Syiah, entri ini harus dibaca. Gejala Syiah yang merebak di Malaysia agak menakutkan kita kan...

Saya perlu memahami apakah Syiah itu dan mendapatkan maklumat yang lebih jitu dari rakan-rakan blogger agar kita memahami impak buruk jika kita biarkan amalan Syiah ini berleluasa di Malaysia.

Jika ada kesempatan boleh membaca 23 Ciri-Ciri Amalan Syiah

Adapun mengikut terminologi (istilah) syariat Islam : Mereka yang berpendapat bahawa Saidina Ali bin Abi Thalib lebih berhak untuk memegang tampuk pemerintahan dan lebih utama daripada sahabat-sahabat lain.
 
Asalnya, Syiah terpecah daripada Islam disebabkan persoalan Siasah (Politik). Begitulah juga dengan firqah Khawarij, namun ketika peristiwa kematian Sayyidina Hussin bin Ali di Karbala, pengaruh Syiah makin meluas lalu dikenali sebagai satu fahaman dan mazhab aqidah.
 
Oleh itu, pelbagai fahaman dan fatwa ganjil daripada Syiah yang dikeluarkan sehingga membawa kepada percanggahan dalam masalah aqidah (pegangan) dan pelbagai masalah fiqh.
 
Asalnya mereka ingin mempertahankan Ahli Bait Rasulullah s.a.w. namun semangat kecintaan tersebut telah diseleweng oleh beberapa ideologi sesat yang telah dibawa masuk.
 
Antara pendapat ulama’ menyatakan, pengasas utama Syiah adalah Abdullah bin Saba’ yang berpura-pura menganut Islam semata-mata menjadi duri dalam daging umat Islam.Ini disokong oleh kebanyakan ulama’ Sunni dan Syiah sendiri kerana antara puak-puak Syiah ada yang dinisbahkan kepada namanya iaitu puak “al-Sabaiah” (السبائية).
 
Satu peristiwa terjadi ketika Abdullah bin Saba’ pernah sekali berjumpa dengan Saidina Ali bin Abi Thalib :“Kamulah (Ali) kamulah (Tuhan) , lalu diulang-ulang beberapa kali, maka Saidina Ali berkata : Celakalah kamu (dengan perkataanmu itu), Saidina Ali bertanya : Siapakah aku yang sebenarnya? Lalu Abdullah bin Saba’ berkata lagi : Kamulah Allah !!! ”.
 
Disebabkan perkataan tersebut, maka Saidina Ali telah memerintahkan menterinya untuk membakar golongan Syiah Saba’iah tersebut. Syiah selepas zaman Saidina Ali berpecah kepada empat kumpulan yang terbesar yang akan dinyatakan nanti.
 
Syiah pada zaman sekarang yang dianggap benar-benar mu’tadil adalah Zaidiah. Adapun Imamiah Isna ‘Asyar, ulamak khilaf. Kebanyakan daripada para syeikh Al-Azhar mengambil pendekatan yang wasatiah (pertengahan) mengatakan mereka dikalangan mu’tadil (masih boleh diajak berbincang dalam proses taqrib).

Antara ulama’ yang berpendapat sedemikian seperti Syeikhul Azhar Mahmud Shaltut, Mufti Mesir Syeikh Nuruddin Ali Jumaat, Syeikh ‘Atiah Saqar, Syeikh Yusoff al-Qardhawi, Syeikh Ibrahim al-Bayumi dan lain-lain.

Namun ada juga pendapat yang lebih keras mengatakan Imamiah Isna ‘Asyar ini telah keluar daripada Islam kerana sampai kelampauan mereka kepada sahabat-sahabat Nabi, berpegang kepada pentahrifan(ditokok tambah) Quran, merendahkan martabat Rasul, menolak dan tidak berhujjah dengan sebahagian besar hadith-hadith sahih melainkan yang selari dengan aqidah mereka, mempercayai imam mereka maksum sebagaimana Rasulullah, menyangka imam mereka belum wafat lalu diangkat oleh Tuhan dan akan diturunkan sebagai Imam Mahdi kelak, imam mereka mengetahui perkara-perkara ghaib dan lain-lain.

Pendapat kedua ini kebanyakannya dipegang oleh ulama-ulama yang berfahaman Salafi antaranya Ibn Taimiyyah, ibn Qayyim al-Jauzi, Abdullah bin Abd Wahab, Mufti Saudi Syeikh Muhammad bin Ibrahim, Syeikh al-Bani dan lain-lain[9].

Namun secara konklusi apa yang pasti, sekiranya kelampauan yang ditunjukkan oleh kelompok Syiah Imamiah tersebut tidak sampai kepada had ghulah, maka mereka masih lagi dalam Islam namun dalam keadaan fasiq dan ahli bidaah.

Itupan sekiranya mereka tidak memusuhi Ahli Sunnah wal Jamaah lebih daripada mereka memusuhi golongan kafir seperti Yahudi, Nasrani dan selainnya.
Namun apa yang berlaku, kebencian yang amat sangat ditunjukkan dikalangan mereka terhadap Sunni sehingga sanggup bersama melakukan perkomplotan bersama kaum kuffar semata-mata menghancurkan golongan Sunni.

Inilah yang dirakamkan kebimbangan dan penjelasan oleh Syeikh Said Hawwa dalam buku kecilnya “al-Khomeinisma : Ganjil dari sudut pegangan dan pendirian”.

PUAK-PUAK DALAM SYIAH

1. Imamiah (الإمامية): Dikenali dengan Imamiah kerana menjadikan persoalan Imamah (melantik dan beriman kepada mereka) sebagai perkara Usul dalam agama yang wajib dipercayai. Ianya merupakan puak yang paling utama dalam Syiah.

Dinamakan juga sebagai al-Rafidah (الرافضة) kerana “ingkar dan menolak” kelayakan Abu Bakar, Umar dan Uthman sebagai Khalifah selepas kewafatan Rasulullah s.a.w.
Ianya dipanggil juga dengan nama Isna ‘Asyariah (اثنى عشرية) kerana berpendapat bahawa 12 daripada imam-imam mereka maksum[12] sebagaimana Nabi Muhammad s.a.w. (dijaga daripada melakukan dosa, lalai, lupa, tersalah dengan sengaja ataupun tidak sengaja).

12 imam mereka adalah sebagaimana berikut :

1. Ali bin Abi Thalib (al-Murtadha)
2. Hasan bin Ali (al-Mujtaba)
3. Husin bin Ali (al-Syahid)
4. Ali Zainal Abidin (al-Sajjad)
5. Muhammad (al-Baqir)
6. Ja’afar (al-Sadiq)
7. Musa (al-Kazim)
8. Ali (al-Redha)
9. Muhammad (al-Jawwad)
10. Ali (al-Hadi)
11. Hassan (al-Askari)
12. Muhammad (al-Mahdi al-Muntazor)[13] 

Syiah Imamiah ini terbahagi pula kepada 15 kelompok :

Muhammadiah, Baqiriah, Nawuusiah, Syumaitiah, ‘Ammariah, Ismailiah, Mubarakiah, Musawiah, Qat’iah, Isna ‘Asyariah, Hasyimiah, Zurariah, Yunusiah, Syaithaniah, Kamiliah.

2. Zaidiah (الزيدية): Mereka adalah pengikut kepada Zaid bin Ali Zainal Abidin bin Husin bin Ali bin Abi Thalib[14]. Beliau terkesan dengan pemikiran Wasil bin Ata’ (pengasas fahaman Muktazilah) dan ulama’ mengklasifikasikan pengikut Zaidiah dalam golongan yang mu’tadil kerana yang paling hampir kepada Ahli Sunnah wal Jamaah, lebih-lebih lagi dalam persoalan ibadat.

Pendapatnya tidaklah sampai mendewa-dewakan Ali dan mencerca sahabat-sahabat yang lain melainkan hanya mengatakan bahawa Ali lebih layak memegang tampuk khilfah selepas kewafatan baginda Rasulullah s.a.w. daripada Abu Bakar dan Umar.
Kebanyakan kelompok ini berada di Yaman. Syiah Zaidiah terbahagi kepada 3 kelompok :
Jarudiah, Jaririah, Solihiah.

3. Kaisaniah (الكيسانية): Pengasasnya adalah Mukhtar bin Ubai al-Thaqafi yang merupakan khadam kepada Muhammad bin Ali bin Abu Thalib (anak Saidina Ali dengan isterinya Haulah dari bani Hanifah lalu dikenali Muhammad al-Hanafiah sempena nama kabilah ibunya).

Adapun Kaisan merupakan khadam kepada Saidina Ali bin Abi Thalib. Setelah kewafatan Ali, dia lalu menjadi khadam kepada Muhammad al-Hanafiah. Dia bersungguh-sungguh mempertahankan Hasan dan Husin dalam mendapatkan hak kekhalifahan.

Selepas kematian keduanya, mereka pula mempertahankan hak terhadap Muhammad bin al-Hanafiah. Lalu ada dikalangan mereka yang ghuluw (melampau) lalu menjadi buruan pemerintah ketika itu.

Terdapat 2 kelompok daripada Kaisaniah :

1. Yang mendakwa bahawa Muhammad al-hanafiah masih belum mati kerana beliau menyelamatkan diri ke sebuah daerah Radhwa (sebuah kawasan pergunungan) ketika diburu pemerintah kerana disebabkan oleh pengikut-pengikutnya yang melampau. Beliau dipercayai masih lagi hidup dan bersembunyi disana. Beliau akan keluar pada hari kiamat sebagai Imam Mahdi.

Mereka yang memperjuangkan hak kekhilafahan Muhammad al-Hanafiah semasa beliau masih lagi hidup. Dan hak tersebut berpindah-pindah kepada orang lain selepas kematiannya.

2. Ghulah (الغلاة) : Mereka yang melampaui had dalam persoalan aqidah. Bukan sahaja berpandangan bahawa Saidina Ali lebih mulia dan layak daripada sahabat-sahabat lain dalam persoalan Khilafah bahkan lebih agung daripada Rasulullahs.a.w.

Mereka juga berpendapat Rasulullah s.a.w. hamper sama wajahnya dengan Ali, oleh sebab itu malaikat Jibril tersalah sampaikan wahyu kepada Rasulullah sedangkan asalnya disampaikan kepada Saidina Ali. Ada juga yang menyatakan Jibril sengaja melakukan sedemikian lalu mengkafirkan Jibril.

Mereka percaya kepada konsep perpindahan ruh (tanasukh al-arwah) dari satu jasad kepada jasad yang lain,apabila sesorang melakukan kejahatan maka pada kebangkitan lain ruh mereka akan menjelma dalam keadaan yang menghinakan, jika mereka melakukan kebaikan maka ruh tersebut akan menjelma dalam keadaan yang mulia dan dihormati.

Kerana itulah golongan ini menyatakan bahawa Abu Bakar dan Umar akan dibangkitkan pada dekatnya Kiamat dalam rupa keldai dan baghal dan imam-imam mereka akan menjadi pengembala serta memukul-hinakan Abu Bakar dan Umar ketika itu dalam keadaan keldai dan baghal.

Mereka sampai kepada batas ketaasuban dan kelampauan sehingga mengatakan Saidina Ali bin Abi Thalib dan imam-imam mereka sebagai Tuhan. Samada Tuhan hulul (menjelma masuk) dalam badan mereka atau mereka bersifat dengan sifat-sifat ketuhanan.

Walaupun mereka mendakwa bahawa pegangan mereka daripada agama Islam namun jumhur ulama’ berpendapat mereka telah terkeluar daripada acuan Islam.
Syiah Ghulah ini terbahagi kepada Saba’iah, Bayaniah, Mughiriah, Mansuriah, Ghurabiah, Khattabiah, Janahiah, Hululiah, Syari’iah, Numairiah.

GERAKAN KEBATINAN

Banyak daripada kumpulan dan agen parasit daripada luar yang ingin merosakkan Islam. Mereka mula menyerang agama Islam dengan mencipta beberapa ideologi berbentuk harakah batiniah (gerakan kebatinan) lalu diserap masuk kedalam Islam dengan menjadikan cinta kepada Ahli Bait Nabi sebagai hujjah mereka.

Ada juga yang menjadikan persoalan falsafah, ilmu kalam, tasawuf ,perbandingan agama dan kebebasan mutlak terhadap manusia sebagai fokus utama dalam menyebarkan fahaman kebatinan ini.
 
Golongan ini digelarkan dengan nama al-Batiniah (الباطنية) kerana mereka berkata :
“Syariat Allah itu ada lahir dan batinnya, begitu juga dengan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi Muhammad”
Mereka menggunakan kaedah takwil[17]sebagai manhaj utama menyebarkan fahaman ini.
Sebagai contoh :

“Sesiapa yang mengetahui makna hakikat ibadah, gugur fardu ibadah daripadanya”. Ini diambil daripada Firman Allahdalam Surah al-Hijr, ayat 99 berbunyi :“Sembahlah Tuhanmu sehingga kamu yakin.”

Mereka bergerak samada dalam keadaan jelas atau tersembunyi dalam mana-mana kelompok. Antara gerakan mereka yang dapat dikenal pasti oleh para ulama iaitu gerakan Yazidiah, Qaramitah, Ismailiah, Druze, Nusairiah, Hashsyasyin, Babiah, Baha’iah, Qadianiah, Hizbul Jumhuri, Ahbash, Ansar, Khumainiah dan Harakah Amal.

Pengasas awalnya adalah Maimun bin al-Ahwazi[18], Muhammad bin Hussin (al-Dandan)[19] bersama satu kumpulan yang dinamakan al-Jarabijah[20] yang pernah berkumpul sekali dalam penjara di kawasan Iraq, lalu bersepakat mengasaskan gerakan kebatinan. Selepas bebas daripada penjara, mereka mula menyebarkan fahaman dan doktrin-doktrin tersebut yang diceduk daripada Islam, Majusi, Yahudi, Nasrani, Mesir Kuno, Parsi, Yunani, Anamisma dan Buddha.

Gerakan mereka ini terlebih bahaya daripada Yahudi, Nasrani, Majusi dan Dahriah kerana mereka bergerak dengan menyalurkan doktrin mereka secara halus dan dengan penggunaan nama Islam sebagai tipu muslihat.
Modus operandi sebagaimana dinyatakan oleh Dr. Anwar Hamid Isa ada beberapa peringkat dalam meniupkan ruh tipu daya mereka :
 
1. Al-Tafarras : Memerhati daripada jauh mangsa yang sepatutnya
2. Al-Ta’nis : Mula berdamping dan tunjukkan keramahan untuk berkawan
3. Al-Tasykik : Timbulkan persoalan dan keraguan tentang Islam
4. Al-Ta’liq : Cuba memberi ulasan dan komentar yang salah tentang Islam
5. Al-Rabt : Akan sentiasa cuba berhubung dan menarik dengan lebih rapat
6. Al-Tadlis : Meresap-masukkan doktrin-doktrin pelik lalu menipu dan perdaya
7. Al-Ta’sis : Mula melakukan proses pembentukan menjadi ahli gerakan bersama
8. Al-Khulu’ wal Salakh: Memisah dan mencabut. Mula-mula menjauhkan umat Islam
daripada pengamalan spiritual mereka sehari-hari dan seterusnya kepada gugurnya keimanan kepada Allah.

FAHAMAN NUSAIRIAH (النصيرية)
(GERAKAN KEBATINAN)

Salah satu daripada ideologi sesat yang dicipta untuk memesongkan ajaran Islam yang tulen. Mereka adalah pengikut kepada Muhammad bin Nusair al-Basri al-Namiri.[21]

Selepas kematian Hassan al-Askari, Muhammad bin Nusair menyatakan bahawa Hassan al-Askari ada menyembunyikan seorang anaknya (Muhammad al-Mahdi) didalam sebuah bilik bawah tanah.
Tujuannya adalah mendapatkan nama dengan mengutip zakat daripada orang ramai sebagai pengeluaran zakat untuk disalurkan kepada anak Hassan yang tersembunyi itu.

Dia menggunakan hujjah البابية dengan menggelarkan dirinya sebagai PINTU atau sebagai orang tengah untuk menyampaikan sesuatu pemberitaan dan menyampaikan sesuatu hajat yang diinginkan oleh masyarakat. Kerana hasratnya ingin menjadi penguasa dengan menggunakan Imam yang Ghaib tersebut, dia akhirnya menggelarkan dirinyasebagai Tuhan.

Kelompok ini juga dinamakan dengan Namiriah, Alawiyun,Hattabun dan lain-lain. Tersebarnya Nusairiah hari ini disekitar pinggir Syria, kepulauan kecil, Lubnan, Iraq dan lain-lain.
Imam ibn Kathir penah menyatakan bahawa kelompok Nusairiah ini menganggap Saidina Ali sebagai Tuhan.Mereka juga mengkafirkan umat Islam keseluruhannya. Mereka telah meruntuhkan masjid-masjid lalu ditukar dan dibina kilang-kilang dan kedai penjualan arak.[22]

Antara aqidah mereka adalah :

1. Menganggap Saidina Ali sebagai Tuhan kerana Allah taala telah hulul (menjelma masuk) ke dalam jasad Saidina Ali, bahkan mereka juga beranggapan bahawa Ali sudah wujud sebelum bumi dan langit belum dicipta.

2. Mereka berpegang dengan konsep ketuhanan Trinity (3 dalam 1) sebagaimana Kristian. Kristian beranggapan adanya Tuhan Bapa, Tuhan Anak, Ruhul Quds (Jibril).
Bagi Nusairiah, mereka beranggapan bahawa adanya tiga gabungan daripada المعنى (Saidina Ali) sebagai Yang Paling Agung dan Berkuasa, الإسم (Rasulullah s.a.w.) sebagai hijab Nurani dan الباب (Salman al-Farisi) sebagai wasilah untuk menyampaikan kepada hijab Nurani.

3. Menganggap bahawa imam Hassan al-Askari sebagai Nabi yang diutuskan Tuhan. Bahkan mengetahui akan setiap perkara-perkara yang ghaib dan terzahir mukjizat disisinya[24].
Begitulah juga yang berlaku kepada Syeikh-syeikh mereka yang Tuhan hanya khususkan kepada mereka dengan mengetahui setiap maksud batin (tersirat) daripada al-Quran dan Hadith.
Mereka tidak memakai-guna ayat al-Quran secara zahir dan mengubah makna tersebut kepada makna yang tidak layak untuk ditakwilkan.

4. Berpegang dengan konsep Karma sebagaiman agama Buddha yang akan ada perpindahan ruh serta pembalasan amalan dimuka dunia. Ketika itu berpindahnya ruh kepada jasad-jasad manusia lain sebagai balasan baik ataupun buruk. Bahkan ada juga ruh yang berpindah ke jisim-jisim tumbuhan dan haiwan-haiwan.

5. Mengecam bagi sesiapa yang mencela dan menghina Abdul Rahman bin Maljam (pembunuh Saidina Ali) kerana beranggapan telah melakukan kebaikan. Mereka beanggapan, telah menjelma sepenuhnya ruh Allah daripada العالم اللاهوت (alam ketuhanan) kepada العالم الناسوت (alam manusia) untuk menyelesaikan fitnah yang berlaku dikalangan sahabat Nabi ketika itu.

6. Beriman bahawa Saidina Ali mencipta Rasulullah s.a.w. lalu Rasulullah mencipta Salman al-Farisi, lalu Salman mencipta 5 orang yang lain iaitu :
- al-Miqdad bin Aswad :
mengawasi dan menjadi Tuhan bagi manusia dalam mentadbir mereka
- Abu Dzar al-Ghifari :
menjadi pemantau peredaran falak, planet-planet dan bintang dilangit
- Abdullah bin Rawahah:
penjaga peredaran udara alam dan meniupkan ruh bagi manusia
- Uthman bin Maz’un:
mengawal situasi, perihal kelakuan dan sifat manusia
- Qinbar bin Kadan :
sebagai peniup ruh kehidupan kepada seluruh makhluk Tuhan

7. Beranggapan Saidina Ali tidak mati tetapi naik ke langit lalu bersemayam di bulan, matahari, awan dan lain-lain.Kerana itulah mereka menyembah benda-benda tersebut kerana Ali ada disana.

8. Tidak mengiktiraf pensyariatan Haji kerana pada pandangan mereka, menunaikan Haji ke Mekah merupakan perbuatan kufur dan melakukan penyembahan berhala (dinisbahkan kepada Kaabah).

9. Tidak solat Jumaat, tidak bersuci dengan wudhu’, mengangkat janabah (hadas besar) sebelum menunaikan solat lima waktu. Solat lima waktu mereka tidak perlu berwudu’ dan tidak ada sujud kerana ianya termasuk dalam rukun Rukuk dalam solat.Solat mereka berbeda dengan rakaat yang diamalkan oleh Sunni.

10. Tidak mengiktiraf pensyariatan zakat tetapi mereka mengeluarkan wang saku mereka (untuk menggantikan zakat) dengan memberi cukai kepada Syeikh-syeikh mereka.

11. Melakukan upacara-upacara kemenyan dan membakar wangi-wangian ketika melakukan upacara sebagaimana yang dilakukan Kristian dan Buddha.

12. Puasa hanyalah menahan diri daripada isteri-isteri mereka sepanjang bulan Ramadhan.
Begitula realiti sebenar fahaman Nusairiah, sebuah gerakan kebatinan yang bergerak dalam denyut nadi umat untuk menghancurkannya secara tersembunyi.

Para ulama telah bermuafakat, mereka yang menganut fahaman Nusairiah ini diharamkan berkahwin dengannya, diharamkan makan sembelihannya, dilarang daripada mengkafan, solat jenazah dan dilarang untuk dikebumikan bersama kubur-kubur orang Islam.

Namun apa yang kita dapati, apa yang berlaku di Syria sekarang, tampuk kepimpinan negara dikuasai oleh puak Syiah al-Nusairiah ini. Walaupun mereka mengkafirkan kelompok Syiah Imamiah Isna ‘Asyar namun kerajaan Iran (yang menganut fahama Syiah Imamiah Isna ‘Asyar) tetap menolong mereka dalam memerangi kelompok Ahli Sunnah wal Jamaah di bumi Syria yang mulia.

Mungkin disana kenyataan yang dikeluarkan oleh Yusoff al-Qardhawi dan Syeikh Ali al-Sobuni serta para ulama’ yang anti-Asad secara zahir berhujjahkan wajib menentang kezaliman yang dilakukan mereka, namun tidak dinafikan bahawa kebarangkalian besar perkomplotan Iran membantu Syria dengan menghantar tenteranya Hizbullah untuk melepaskan dendam kesumat mereka terhadap kelompok Sunni.

Inilah yang dibimbangkan oleh Syeikh Saied Hawwa selama ini yang melihat sendiri pasca kebangkitan Islam di Iran secara revolusioner ada agenda yang tersendiri. Bahkan beliau sendiri tidak mengiktiraf bahawa kebangkitan yang berlaku di Iran adalah sebuah “kebangkitan Islam” النهضة الإسلامية di akhir zaman.
Wallahu a’lam

Kepada tuan punya entri maaf saya tertutup browser so malam karang say acari alamat entri asal ini.
 

3 comments:

Kathy Rbain said...

info yang baik ni ..kathy pun takut juga dengan penularan fahaman syiah di malaysia...

Jemarisuri said...

mcm2 yg berlaku skrg ni kan...semoga kita tidak terpesong dr ajaran islam yg sebenarnya...ameen

Teacher Basariah said...

Ya Allah,tunjukilah kami jalan yang lurus..janganlah kami disesatkan setelah kami beroleh jalan yang benar..amin ya rabbal alamin