Keburukan Pelaksanaan GST

Keburukan Pelaksanaan GST

Pengenalan dan Latarbelakang
Semasa pembentangan Belanjawan Kerajaan 2014 pada 25 Oktober 2013, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan rancangan kerajaan untuk melaksanakanGoods and Services Tax (GST) dan penghapusan Sales and Services Tax (SST) yang akan berkuatkuasa pada 1 April 2015.
Kerajaan menyatakan bahawa langkah tersebut adalah perlu kerana keadaan kewangan kerajaan adalah tenat. Ini terbukti apabila Syarikat Fitch, sebuah agensi ‘Rating’ menurunkan (downgrade) bon kerajaan ke tahap `Negatif’ pada bulan Julai 2013.[3]
Susulan dari itu telah timbul perdebatan sama ada langkah itu adalah adil kepada rakyat atau tidak serta sama ada ianya akan membebankan rakyat di masa akan datang.

Percukaian di Malaysia – SST dan GST 
Jika sistem percukaian negara ini dilihat dengan lebih dekat,akan didapati rakyat Malaysia telah pun membayar cukai dalam bentuk SST yang menjadi sebahagian daripada kos barangan dan perkhidmatan semenjak tahun 1972 lagi. Beza antara GST dan SST ialah GST adalah cukai nilai tambahan atau ‘value added tax’ (VAT) yang dikenakan bagi setiap urusniaga yang berlaku. Kadar GST yang ditetapkan oleh kerajaan menentukan berapa banyak cukai yang ditanggung oleh pengguna.
Mengikut undang-undang, GST dikenakan ke atas setiap urusniaga kecuali urusniaga itu diberi pengecualian dari skop GST. Semua perkhidmatan atau barangan yang tidak diumumkan sebagai “dikecualikan” akan dikenakan GST. Walupun GST akan dikenakan pada setiap peringkat urusniaga, namun pada akhirnya pengguna membayar sekali sahaja kerana GST mempunyai mekanisma ‘Input tax credit’ dimana cukai yang dibayar oleh sesebuah firma dalam proses pembuatan dan pengagihan boleh dituntut balik. Cuma pengguna akhir sahaja yang tidak dapat meminta balik cukai yang dibayar. Di samping itu, hanya firma yang menjual barang atau perkhidmatan melebihi RM500,000 setahun diwajibkan mendaftar untuk mengenakan GST.
Perbezaan antara GST dan kaedah cukai SST boleh dilihat dalam Jadual berikut:
CUKAI BARANGAN & PERKHIDMATAN
(GST)
CUKAI JUALAN & CUKAI PERKHIDMATAN
(SST)
PERINGKAT CUKAI
Berperingkat.
Pada setiap peringkat, GST dikenakan & peniaga boleh mendapat kredit GST
Satu peringkat.
Cukai hanya dikenakan di peringkat kilang sekali sahaja
SKOP PELAKSANAAN
Semua dikenakan GST kecuali yang termasuk dalam senarai pengecualian
Hanya barang dan perkhidmatan tertentu yang disenaraikan kerajaan
KADAR
6% bagi standard, 0% bagi senarai barangan cukai sifar
Berbeza-beza. 6% bagi cukai perkhidmatan,10% bagi cukai jualan
Secara umumnya pakar-pakar percukaian di Malaysia bersetuju bahawa kaedah GST jika dilaksanakan akan membantu kerajaan untuk meningkatkan pendapatan cukainya dalam jangka panjang. Namun mereka berbeda pendapat berkenaan kesannya kepada pihak pengguna.
Alasan utama kepada hujah yang menyatakan GST tidak membebankan rakyat ialah kadar yang dikenakan adalah rendah iaitu 6% sahaja. Di samping itu, 40 kategori barangan asas tidak akan dikenakan cukai langsung. 
Ini termasuk beras, gula, susu tepung dan gandum. Di samping itu juga perkhidmatan yang diklasifikasikan sebagai penting seperti perkhidmatan kesihatan adalah dikecualikan dari cukai. Lagipun pelaksanaan GST juga bermakna SST akan dihapuskan. Akibatnya bagi sesetengah keluaran harga mungkin akan menurun kerana penghapusan cukai SST.  Ini kerana di bawah sistem SST sedia ada, pengguna bukan sahaja membayar cukai jualan, bahkan dalam kes minuman berkarbonat di hotel sebagai contoh, pengguna juga dikenakan cukai perkhidmatan sebanyak 6 peratus yang dikenakan pihak hotel pula.
Sebaliknya masalah cukai berganda ini tidak akan berlaku di bawah sistem GST kerana cukai yang dibayar pemilik hotel diperolehi semula dalam bentuk kredit cukai input dan tidak mewakili kos kepada hotel.
Namun terdapat pandangan lain yang menyatakan bahawa ada beberapa aspek pelaksanaan GST yang akan menghasilkan keadaan di mana harga barangan akan meningkat. Hujah utama mereka ialah dengan pelaksanaan GST, walaupun kadar cukai adalah lebih rendah dan banyak barangan dan keperluan asas adalah dikecualikan dari cukai, namun skop GST adalah lebih besar kerana melibatkan banyak aktiviti urusniaga. Sebagai contoh kos menghasilkan alat keluaran seperti mesin, bahan pembungkusan, elektrik dan lain-lain semuanya akan dikenakan GST.  Akibatnya pengilang terpaksa menaikkan harga untuk menampung kenaikan kos akibat GST ini walaupun ianya melibatkan pengeluaran barangan asas.
Dalam erti kata yang lain, walaupun kadar cukai 10% sekarang (iaitu cukai jualan) akan dikurangkan menjadi 6% dibawah GST, hakikatnya sekarang hanya 6-7 perkhidmatan harian yang dikenakan cukai dan hanya 10–15 barangan harian yang digunakan dikenakan cukai. Namun di bawah sistem GST nanti 90% dari barangan dan perkhidmatan harian dikenakan cukai, walaupun pada kadar yang lebih rendah. Jadi, bebanan rakyat seharian menjadi semakin tinggi kerana semakin banyak barangan dan perkhidmatan yang perlu dibayar cukai.
Kos melaksanakan GST (seperti mencetak invois baru, membayar akauntan, kursus dan lain-lain) dianggarkan mencecah RM15,000 setahun bagi setiap syarikat. Perbelanjaan ini akan dimasukkan di dalam kos yang akan menaikkan harga. Ini akan memberi kesan kepada peningkatan harga sesuatu barang.
Akhir sekali apabila GST dilaksanakan nanti, 89% dari keluarga di Malaysia yang sebelum ini dikira tidak perlu membayar cukai kerana pendapatannya rendah, perlu membayar cukai GST secara tidak langsung. Malah, mereka juga tidak menikmati faedah dari penurunan cukai pendapatan kerana pendapatan mereka rendah. Sebahagian besar rakyat Malaysia tergolong dalam kumpulan ini yang terpaksa menanggung cukai baru tetapi tidak pula mendapat faedah dari penurunan cukai sedia ada.
Berdasarkan perbincangan di atas, tidak hairanlah kenapa wujud perbedaan pendapat berkenaan sama ada GST akan meningkatkan kos kehidupan rakyat atau tidak.
Walau bagaimana pun kami berpendapat bahawa pandangan yang menyatakan bahawa pelaksanaan GST tidak akan menghasilkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan adalah tidak meyakinkan. Sebaliknya kami merasakan bahawa kenaikan harga asas masih akan pasti berlaku akibat fenomena kenaikan kos pengeluaran barang dan perkhidmatan yang menyeluruh di dalam pasaran. Cuma kadar kenaikan harga mungkin tidak berapa tinggi buat masa terdekat memandangkan kadar cukai yang ditetapkan adalah hanya 6% buat masa ini.

Di samping itu, sistem GST yang memerlukan pengiraan cukai input dan output yang lebih teliti oleh peniaga akan menyukarkan mereka dalam memberi fokus kepada perniagaan utama mereka. Masalah kurang ketelitian cukai input dan cukai output ini mungkin akan menyebabkan peniaga lebih sukar untuk menganggar kos sebenar perbelanjaan perniagaan mereka dan ini menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga barang atau perkhidmatan mereka. Tambahan pula kos hal pentadbiran bagi mengurus pelaksanaan GST akan bertambah dan ini juga akan meningkatkan harga barang dan perkhidmatan. Akhir sekali, jika kadar cukai GST dinaikkan lagi (dari kadar 6% sekarang) dan melibatkan banyak lagi kategori barangan dan perkhidmatan, maka kos kehidupan rakyat sudah tentu akan meningkat lagi.
Rumusan
Pelaksanaan cukai SST atau GST sebenarnya tidak akan mampu menyelesaikan  masalah kewangan kerajaan serta masalah kenaikan harga barangan. Ini kerana punca kepada masalah adalah kombinasi banyak faktor termasuk sistem Riba yang diamalkan di negara kita serta perbelanjaan kerajaan yang tidak terkawal akibat amalan pembaziran dalam perbelanjaan kerajaan dan amalan korupsi yang berleluasa.
Oleh kerana itu kerajaan sepatutnya memberi fokus kepada usaha mengawal perbelanjaannya dengan menghapuskan amalan pembaziran dan amalan korupsi. Disamping itu kerajaan dan rakyat juga mesti mengorak langkah untuk membersihkan segala bentuk amalan riba dalam sistem ekonomi dan kewangan negara demi kesejahteraan masyarakat dalam jangka panjang.

Artikel khas oleh Unit Penyelidikan IKRAM

Catat Ulasan

4 Ulasan

Tanpa Nama berkata…
tak tau la nak komen pasal ni..
Tanpa Nama berkata…
1) Adakah penulis benar-benar memahami GST & SST ?
2) Kenapa beri 1 @ 2 contoh sahaja ? Kenapa tak jelas kelemahan SST ?
3) Rumusan yang kabur ... Adakah GST lebih baik daripada SST atau sebaliknya ?
Tanpa Nama berkata…
GST baik kerana peniaga tak boleh lagi sorok cukai. Selama ni mereka ambik dari rakyat, tapi tak bagi kepada kerajaan.

Dan jika peniaga menaikkan 1sen harga barang, mereka akan di denda.. jika Hypermarket, dendanya RM1 juta. Jadi..harga tak boleh di naikkan sewenangnya.
Tanpa Nama berkata…
Kesimpulannya, lepas GST dilaksanakan. Memang harga barang di Malaysia meningkat. Memang terbukti, tak perlu menafikan lagi.