Salam Ramadhan Buat Rakan Muslim

Salam Ramadhan Buat Rakan Muslim

AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN

RAMADHAN menjelma lagi buat ke sekian kalinya. Bulan yang penuh rahmat dan keberkatan. Bulan dilipat gandakan ganjaran pahala bagi sesiapa yang beramal ibadah padanya. Bulan di mana Allah SWT mengampunkan dosa hamba-hambanya. Bulan diturunkan kitab suci Al-Quran dari Loh Mafuz ke langit dunia.

Ramadan adalah bulan pengampunan, bulan penyucian dan pembersihan jiwa dari dosa dan maksiat yang dilakukan pada 11 bulan sebelumnya. Bulan untuk menggilap semula iman dan taqwa yang kian pudar dek kemaksiatan dan dosa.

Sesungguhnya Ramadhan adalah tetamu yang hanya hadir sekali dalam setahun di mana hadirnya dengan membawa keuntungan yang berlipat kali ganda.


Ramadhan adalah musim untuk beribadah, Ramadhan adalah musim untuk memburu dan mengejar ganjaran pahala. Di bulan Ramadhan ganjaran pahala ditawarkan sebanyak-banyaknya.

Kata junjungan mulia, ibadah yang sunat diberi pahala seumpama ibadah yang fardu.Ibadah yang fardu digandakan ganjarannya sehingga 70 kali ganda banyaknya.Bahkan digandakan lagi ganjarannya sehingga 700 kali ganda.Bukan itu sahaja, bahkan digandakan lagi sehingga tidak diketahui berapa jumlah ganjaran pahala sebenar yang ditawarkan.

Alangkah beruntungnya mereka yang berkesempatan untuk menjejakkan kaki di bulan Ramadhan yang mulia ini.Alangkah bertuahnya mereka yang berjaya merebut dan memperoleh keuntungan yang ditawarkan dalam bulan Ramadhan ini.

Namun, tidak kurang juga betapa ruginya mereka yang membiarkan Ramadhan ini berlalu begitu sahaja tanpa sebarang keuntungan yang diperolehi dengan kehadirannya selaku tetamu yang sungguh istimewa ini.

Bertambah rugi lagi apabila ibadah puasa yang dilakukan dipenuhi dan dicemari dengan kata-kata nista, kata-kata bohong dan dusta, kata-kata keji dan hina.

Kata junjungan mulia, jika orang yang berpuasa itu tidak dapat meninggalkan kata-kata keji, lagha dan dusta, maka tiada keperluan lagi bagi Allah dia meninggalkan makan dan minumnya.Bermakna, jika tidak dapat mengawal anggota dari melakukan dosa, lebih baik tidak payah berpuasa, kerana jika berpuasa pun tidak mendapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga.Begitulah maksud yang tersirat di sebaliknya.

Ramadhan adalah musim untuk beramal ibadah. Ramadhan adalah peluang untuk mengumpulkan "mata ganjaran pahala".Ramadhan adalah masa dan peluang untuk meninggalkan dosa dan maksiat.

Ramadhan adalah bulan untuk memuhasabah diri sendiri akan kelalaian dari melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan kepada Tuhan, kewajipan kepada ibu-bapa, kewajipan kepada anak dan isteri, kewajipan kepada tugas dan kewajipan kepada semua orang yang wajib ditunaikan hak dan tanggungjawabnya.

Ramadhan adalah bulan untuk menghitung diri sendiri dan menyesali kesilapan dan perbuatan yang telah lalu.Ramadhan adalah bulan untuk mengharapkan pengampunanNya terhadap dosa-dosa yang telah lalu.

Ramadhan adalah bulan untuk menggilap dan meningkatkan iman dan taqwa..... Ramadhan adalah bulan para jemaah berpusu-pusu mengunjungi masjid untuk beribadah.

Ramadhan adalah bulan untuk berzikir, bertahmid, bertasbih, bertadarus, bertahajjud, berdoa, bertafakkur, bermunajat.......!

Ya Allah! Tingkatkan amal ibadahku di bulan yang mulia ini.

Ya Allah! Bersihkan aku dari segala dosa di bulan Ramadhan ini!

Ya Allah! Jangan engkau biarkan Ramadhan kali ini berlalu tanpa sempat aku memetik buah-buah taqwa dan buah-buah keimanan yang amat mudah untuk aku perolehi di dalamnya!

Ya Allah! Sempena Ramadhan ini tingkatkanlah ketaqwaanku terhadapMu, ampunkanlah dosa-dosaku yang sebanyak buih di lautan ini!

Ya Allah! Dengan kemuliaan dan keberkatan Ramadhan ini kuatkan semangatku untukku menambahkan amal ibadahku untukMu, tingkatkanlah iman dan keikhlasanKu beribadah hanya untukMu.

Ya Allah! Campakkanlah di dalam hati ini rasa damai dan tenang kerana beribadah dan mengabdikan diri kepadaMu. Jangan Engkau golongkan aku ke dalam golongan yang merugi yang membiarkan Ramadhan ini berlalu begitu sahaja......

Bagi insan yang merindui Ramadhan, untuk merasai dan mengecapinya lagi, pastinya terpaksa menunggu setahun lagi untuk menemui Ramadhan yang baru.Itupun entah-entah belum tentu sempat bertemu lagi dengan Ramadhan.

Marilah kita merebut kedatangan Ramadhan pada kali ini untuk menyubur dan menguatkan iman, meningkatkan amal dan menanam rasa taqwa dan kehambaan terhadap Tuhan Rabbul Jalil.

Semoga kita digolongkan di kalangan golongan muttaqin.

Catat Ulasan

1 Ulasan

BM berkata…
Assalamualaikum...Tuan
Salam Ramadan 1435H. Semoga Ramadan tahun ini menjadi yang terbaik dalam hidup anda, Amiin. Dikesempatan ini juga saya memohon ampun dan maaf andai ada salah dan silap mahupun kekhilafan yang mengguris hati... Maaf zahir dan batin.