Apa Itu PPS (Pasukan Peronda Sukarela) Pulau Pinang

Apa Itu PPS (Pasukan Peronda Sukarela) Pulau Pinang

Apa Itu PPS
Kerajaan Negeri memberi sokongan penuh penubuhan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) demi memastikan kadar indeks jenayah terus menurun sekaligus menyahut cabaran dalam usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri paling selamat di Malaysia.

Dalam kenyataan akhbar Ketua Menteri, Tuan Lim Guan Eng, beliau menyatakan bahawa Pulau Pinang telah mencatat penurunan kadar jenayah yang paling besar di Malaysia sebanyak 27 % pada 2010 manakala bagi enam bulan yang pertama tahun ini penurunan sebanyak dicatatkan adalah 25 %.

Di antara faktor penurunan kadar indeks jenayah adalah kerjasama dan sumbangan gigih daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Ketua Polis Negeri, Dato' Wira Ayub bin Yaakob, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan hitam serta penyertaan pasukan kepolisan komuniti.

Pasukan kepolisan komuniti (CP) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang telah ditubuhkan di beberapa JKKK dilihat sebagai langkah penting dalam menjaga keselamatan awam. Malah penubuhan PPS kelak juga dilihat sebagai medium untuk membantu pihak polis membuat rondaan dan bukannya mengambil alih bidang kuasa PDRM dalam menjaga dan menjamin keselamatan warga Pulau Pinang.

Antara objektif penubuhan PPS ini adalah untuk membantu Pihak Berkuasa Keselamatan dalam menangani kegiatan atau aktiviti sosial yang negatif di kawasan-kawasan panas termasuk membersihkan kawasan daripada anasir dadah.

Malah, penubuhan ini juga sedikit sebanyak dapat membantu PDRM untuk mencegah dan membanteras jenayah dengan bertindak sebagai pemberi maklumat di samping menjalinkan hubungan kejiranan yang utuh di kalangan anggota masyarakat tempatan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh yang juga bertanggungjawab di atas penubuhan PPS berkata bahawa PPS diwujudkan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang aspek keselamatan selain membantu pihak polis menjaga ketenteraman awam.

PPS kini dianggotai oleh 840 ahli sukarelawan yang berdaftar di 18 kawasan Dewan Undangan Negeri (Kadun) dan dijangka akan bertambah keahliannya dari masa ke masa. Malah Ketua Menteri turut menyatakan bahawa suatu plan pelindungan insurans bakal dipertimbangkan bagi semua ahli PPS yang berdaftar

Dalam pada itu, Guan Eng berharap agar PPS dapat menjalankan tugasan dengan berpandukan Standard Operating Procedure (SOP) sedia ada agar tidak timbul perkara-perkara yang tidak diingini sekaligus dapat mewujudkan persekitaran kejiranan yang ceria, selamat dan bersatu padu.

Catat Ulasan

0 Ulasan