Aidilfitri pada 9/11 undang kontroversi
BERITA HARIAN 2010/08/19
WASHINGTON: Masyarakat Islam di Amerika Syarikat (AS) bimbang pertindihan antara tarikh berakhirnya Ramadan dan ulang tahun tragedi 11 September, menyebabkan umat Islam dikritik kerana menyambut serangan pengganas yang berlaku pada 2001.
Mengikut kalendar Islam, Ramadan bermula 10 hari lebih awal setiap tahun. Tahun ini, sambutan Aidilfitri, yang menandakan berakhirnya bulan puasa, jatuh pada 11 September.
Sesetengah kumpulan bimbang kebetulan itu akan menambah kecurigaan dan permusuhan terhadap umat Islam ketika sentimen negatif mereka sudah memuncak.
Presiden Barack Obama dikritik hebat kerana menyokong rancangan pembinaan sebuah pusat komuniti Islam berhampiran tempat kejadian serangan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September, 2001 atau Ground Zero.
Masyarakat Islam Amerika Utara (ICNA) mengambil keputusan menangguhkan hari keluarga pada 11 September kerana menghormati mangsa dan saudara mara mereka. Pengasasnya, Tariq Amanullah bekerja di WTC dan meninggal dunia akibat serangan itu.
Majlis Hal Ehwal Umum Islam kumpulan penyokong berpusat di Los Angeles, dilaporkan menghubungi polis memaklumkan mengenai tarikh pertindihan itu dan menggesa masjid memperbaiki pengawasan dan keselamatan di premis mereka.
Ibrahim Hooper, dari Majlis Hubungan Islam-Amerika, berkata setiap individu dan masyarakat bebas untuk menyambut Aidilfitri, namun mereka mungkin mengubah cara sambutan Aidilfitri kerana tarikhnya begitu dekat dengan 9/11.
Saya tidak fikir mereka akan mengubah cara sambutan. Aidilfitri adalah acara bersolat dan meraikan kemenangan berpuasa. Kami sentiasa memberitahu masjid supaya memeriksa keselamatan apabila Islamofobia memuncak. Mereka sengaja mencari dan mencipta pelbagai alasan untuk menyelar Islam dan ini adalah satu daripadanya, katanya.
Haroon Moghul, pengarah sebuah badan capaian Islam, menulis: Jika Aidilfitri jatuh pada ulang tahun hari berkenaan, ia akan menjadi satu tugas sukar kepada umat Islam di New York. Ramai jemaah akan tersentuh pada hari itu, sama ada secara peribadi berikutan kehilangan orang tersayang dalam kejadian terbabit. Agensi
Umat Islam sekarang memang dalam keadaan tersepit, hendak menyambut Hari Raya pun kena jaga hati orang. Bulan menyambut kemerdekaan setelah sebulan berpuasa akan menjadi salah faham semua orang terutama bangsa-bangsa yang beragama lain terutama Kristian.Ini salah siapa? Pada pendapat saya salahnya pada pejuang yang konservatif dan menggunakan nama Islam sebagai landasan perjuangan. Seperti hari ini saya ada membaca dalam Blogger Malaysia yang marah tentang blog yang bercerita tentang agama tapi orang yang menulis pun bukan betul. Ini maksud saya perjuangan yang salah, orang yang tidak ada ilmu agama yang lengkap tapi ingin membimbing orang. Apa jadi?
Kesannya wujudlah pengikut yang berani mati (letupkan badan) dan Islam yang disalahkan. Agama yang disalahkan. Sekarang ini satu dunia ingat agama islam ini agama yang ganas. Di tambah lagi propaganda musuh-musuh islam, mencalitkan prasangka pengikut agama lain.
Tapi jangan salahkan mereka yang propaganda dan bencikan Islam. Siapa yang mulakan, kita penganut agama Islam yang jumud. Al Qaeda sebagai contoh adalah gerakan pengganas Arab tapi berselindung dengan nama Islam. Akhirnya satu dunia bukannya salahkan orang Arab tapi individu yang beragama Islam.
Pepatah berkata "terlajak perahu boleh berundur, terlajak laku dan kata, binasa badan".
Walau apapun saya berharap umat Islam di Amerika terutamanya menghadapi cabaran ini dengan tenang.
0 Ulasan