Kapsul Huo Li Bao Dan HB Lite Tidak Selamat

Kapsul Huo Li Bao Dan HB Lite Tidak Selamat

 PENTING
Dua produk kesihatan iaitu kapsul Huo Li Bao dan HB Lite ditarik balik penjualannya mulai 26 Sept lepas kerana didapati tidak selamat untuk digunakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahim berkata, kedua-dua produk itu dikesan mengandungi bahan campur palsu yang tidak dibenar digunakan dalam produk tradisional.





 "Produk Huo Li Bao nombor pendaftaran MAL09062214TC dikesan mengandungi frusemide dan chlorpheniramine, manakala HB Lite nombor pendaftaran MAL09032133TC mengandungi promethazine,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr. Hasan yang juga pengerusi Pihak Berkuasa Kawalan Dadah berkata frusemide atau furosemide ialah sejenis ubat diuretik yang diguna bagi mengurangkan pembengkakan akibat air terkumpul (edema) dan penggunaannya memberi kesan sampingan serius seperti ketidakseimbangan cecair dan elektrolit dalam badan.

Chlorpheniramine pula katanya, ialah ubat anthihistamin yang digunakan dalam rawatan berkait dengan reaksi alergik, yang membawa kesan sampingan seperti mengantuk dan kekeringan pada mulut sehingga boleh menyebabkan penyakit paru-paru kronik.

Beliau berkata, penggunaan Promethazine yang terdapat dalam HB Lite tanpa pengawasan pula boleh memberikan kesan sampingan serius seperti dikontraindikasi untuk kanak-kanak bawah umur dua tahun.

"Ia juga boleh menyebabkan manifestasi klinikal seperti demam panas, kekejangan otot, gangguan mental dan gangguan pada rentak jantung,” katanya.

Dr. Hasan berkata, orang ramai yang menggunakan produk itu diminta untuk menghentikan penggunaannya serta-merta dan mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan.

"Sesiapa yang mempunyai stok produk dinasihat menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya serta-merta kerana tindakan undang-undang boleh dikenakan kerana ia melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya. — Bernama

Catat Ulasan

0 Ulasan