Pemerdagangan Manusia- Rencana Khas

Pemerdagangan Manusia- Rencana Khas

Pemerdagangan Manusia Sekarang Ini semakin parah dan menjadi satu trend perniagaan yang membutakan hati manusia. Ada kanak-kanak yang dipotong lidahnya hanya semata-mata untuk digunakan sebagai peminta sedekah.
Dan artikel kali ini saya titipkan ialah mengenai orang hanyut yang nasibnya terbela melalui kerjasama Malaysia dan Australia semalam.

Rencana Khas Dari Berita Harian
KETIKA anda atau saya melihat seorang lelaki, wanita atau kanak-kanak yang tidak berdosa, pedagang manusia hanya melihat satu perkara – wang. Mereka mencari sasaran mudah dan terdesak lalu mengeksploitasi tanpa belas kasihan, mengambil kesempatan kewangan, fizikal, malah kerap kali juga secara seksual.

Perbuatan tidak berhati perut dan dahsyat pedagang manusia diperlihatkan pada Disember tahun lalu apabila lelaki yang bertanggungjawab membawa hampir seratus pendatang ke Australia tetapi meninggalkan mereka dalam sebuah bot yang bocor, penuh sesak dengan enjin yang hampir rosak. Berpuluh-puluh orang lemas apabila bot yang dinaiki merempuh batu pantai di Pulau Krismas. Sekurang-kurangnya lima kanak-kanak dan tiga bayi antara yang meninggal dunia.

Tiada seorang pun daripada kami yang mahu menyaksikan kejadian sedemikian berulang, atas sebab itulah kerajaan saya bekerjasama dengan Perdana Menteri Gillard untuk mewujudkan satu cara bagi menghentikan pemerdagangan manusia – apa yang dikenali sebagai ‘Penyelesaian Malaysia’

Sejak beberapa bulan lalu sudah banyak ditulis mengenai kedua-duanya – ‘penyelesaian’ dan Malaysia sendiri, kebanyakannya salah fakta dan berdasarkan politik, bukannya analisis sebenar berdasarkan fakta.


Perjanjian itu hanya ada satu matlamat mudah – untuk menghancurkan model perniagaan pemerdagangan manusia dengan memberitahu bakal pendatang bahawa membelanjakan wang simpanan seumur hidup mereka dan mempertaruhkan nyawa untuk sampai ke Australia, hanya akan membawa mereka sejauh Malaysia.

Kesan daripada halangan ini bukan mengenai Malaysia sebagai tempat yang ‘buruk’, tetapi sekurang-kurangnya akan membuatkan pendatang berasa takut pada akhirnya. Fakta yang mudah ialah Malaysia bukanlah negara persinggahan bagi pendatang asing yang mahu ke Australia untuk menetap, selalunya atas sebab ekonomi dan mereka tidak bimbang dengan layanan yang bakal diterima di negara ini.

Ini kerana, walau apa pun yang anda mungkin pernah mendengar daripada orang yang memilih untuk ‘menyerang’ negara saya, Malaysia bukan menindas, negara mundur yang menghukum pelarian dan mereka yang mencari suaka.

Kami mempunyai pelbagai budaya, masyarakat berbilang kaum yang mempunyai sejarah panjang dan membanggakan mengenai keharmonian sosial dan mengalu-alukan kedatangan orang luar – termasuk memainkan peranan penting dalam membantu untuk mencari kediaman baru bagi beratus ribu pelarian perang dari Vietnam, Laos dan Bosnia.

Hari ini, Malaysia menjadi rumah kepada hampir 178,000 pelarian, orang tanpa kerakyatan dan pelbagai ‘orang yang diberikan perhatian’ Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih tujuh kali ganda ramainya daripada yang ada di Australia. Majoritinya bebas untuk hidup dalam masyarakat, bukannya menghuni pusat tahanan.

Mereka diberikan hak untuk mendapat subsidi penjagaan kesihatan dan pelalian percuma untuk kanak-kanak. Kami sedang bekerjasama dengan UNHCR untuk mewujudkan satu skim yang akan membolehkan sesetengah pelarian mendapat pekerjaan di Malaysia. Orang pelarian tidak tertakluk kepada rutin hukuman sebat oleh pihak berkuasa.

Apabila seseorang individu didaftarkan sebagai pelarian dengan UNHCR – sebuah organisasi yang kehadirannya ketara dalam negara kami dan memberi sokongan kepada ‘Penyelesaian Malaysia’ – mereka tidak boleh didakwa atas kesalahan imigresen.

Pelarian tulen diberikan layanan penuh bermaruah dan terhormat ketika mereka menunggu untuk penempatan semula di tempat lain. Apa yang kita tidak dapat bertolak ansur ialah pendatang tanpa izin dan pedagang manusia dan saya tidak akan memohon maaf kerana mengambil pendirian tegas ke atas kedua-duanya.

Minggu ini saya menyertai Perdana Menteri, Julia Gillard dan pemimpin dari lebih 50 negara untuk Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Perth. Komanwel adalah negara yang sentiasa bekerjasama untuk kebaikan yang lebih hebat dan mesyuarat tahun ini menggariskan temanya – Membina Ketahanan Global, Membina Ketahanan Negara.

Kerjasama antarabangsa adalah satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah antarabangsa. Hanya lebih 10 tahun lalu, soal Tampa yang huru-hara menjelaskan apa yang berlaku jika negara anggota gagal bekerjasama antara satu sama lain, sebaliknya cuba bertindak secara unilateral bagi menangani masalah seperti pendatang tanpa izin.

Pemerdagangan manusia tidak menghormati sempadan antarabangsa dan bidang kuasa undang-undang, apatah lagi menghormati hak asasi mangsa mereka, itulah sebabnya mengapa Malaysia dan Australia bekerjasama untuk mewujudkan satu cara untuk menghalang mereka.

Pengumuman peraturan yang sedang dibincangkan menyumbang kepada penurunan 50 peratus jumlah ‘orang hanyut’ yang menuju ke Australia pada separuh pertama tahun ini dan saya percaya, sebaik ia sedia dilaksanakan, ia akan mempunyai impak yang serius ke atas aktiviti pemerdagangan manusia.

Memang mudah untuk mengalah ketika ini dan untuk memberitahu diri kita bahawa kita sudah cuba tetapi masalah terlalu besar, terlalu sukar dari segi politik untuk menanganinya. Namun akibatnya kegiatan pemerdagangan manusia akan berterusan. Bot akan terus belayar.

Pedagang manusia yang kejam akan terus mengambil segala-galanya daripada orang terdesak – wang mereka, maruah mereka dan biasanya kehidupan mereka.

Sebagai Perdana Menteri sebuah negara yang progresif, liberal, saya tidak akan berdiam diri dan melihat ia terus berlaku. Malaysia sentiasa memimpin Asia Tenggara dalam menangani masalah antarabangsa, jadi kami akan terus bekerjasama dengan Australia, dan rakan kami di seluruh rantau ini dan melangkauinya untuk mencari jalan baru menghentikan pemerdagangan manusia demi kebaikan semua.

Terlalu awal untuk menyatakan dengan tepat apa dan bagaimana cara untuk melawan pada peringkat seterusnya, tetapi satu perkara yang jelas – kita tidak boleh bermain politik dengan pedagang manusia. Ini perdagangan abad ke-21 membabitkan kesengsaraan manusia dan ia tidak seharusnya dibiarkan berterusan

Catat Ulasan

0 Ulasan