Gara-gara mahu melangsaikan hutang dengan ah long, seorang lelaki tergamak menyamun dan mencederakan neneknya sendiri.
Ketika dalam kandang pesalah, Nur Amir Aufa Kayai, 23,menangis teresak-esak, sambil mengakui menyesali perbuatannya itu dan merayu supaya dijatuhkan hukuman ringan.
Namun tangisan penyesalan sudah tidak berguna selepas Mahkamah Sesyen di sini, semalam menjatuhi hukuman penjara enam tahun dan enam sebatan atas perbuatannya itu.
Selepas mendengar hukuman itu, tertuduh kelihatan sedih kerana terpaksa melupakan hasrat untuk menatap wajah anak sulungnya yang berusia dua hari.
Nur Amir Aufa mengaku bersalah merompak dua rantai leher dan empat gelang tangan emas milik Tuminah Satiman, 82, di Jalan Masjid Blok G, Sawah Sempadan Tanjung Karang, dekat sini, pada 5 pagi, pada 2 November lalu.
Dalam kejadian itu, tertuduh memotong gelang tangan yang dipakai neneknya dengan menggunakan pisau hingga mengakibatkan pergelangan tangan kiri warga emas berkenaan cedera.
Difahamkan, dia tekad melakukan rompakan itu, akibat terdesak untuk melangsaikan hutang kepada pemberi pinjam tanpa lesen.
Berdasarkan fakta kes, sehari sebelum kejadian tertuduh datang ke rumah neneknya untuk meminjam wang.
Mangsa ketika itu telah memberikan sejumlah wang tanpa menyuruh cucunya memulangkan semula wang itu.
Bagaimanapun, tertuduh datang semula ke rumah berkenaan untuk menyamun mangsa.
Timbalan Pendakwa Raya, Kee Wei Lon berkata, hukuman perlu setimpal atas perbuatan kejinya itu yang tergamak memperlakukan neneknya sedemikian.
“Sebagai cucu, dia sepatutnya melindungi neneknya yang sudah tua, bukan menyamun harta dan mencederakan neneknya,” katanya.
Hakim Siti Noraida Sulaiman memerintahkan Nur Amir Aufa menjalani hukuman bermula dari pada tarikh tangkapan iaitu 8 November lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Nur Amir Aufa tidak diwakili peguam
0 Ulasan