Greyson tidak mahu dibayangi Justin Biebier

Greyson tidak mahu dibayangi Justin Biebier

PERJALANAN seninya cukup mudah. Ini kerana namanya mula meledak selepas video nyanyiannya di You Tube mendapat sambutan ramai.

Baru sahaja mencecah umur 14 tahun, Greyson Chance penyanyi yang berasal dari Amerika Syarikat ini sudah pun mempunyai peminat dari seluruh dunia.

Mempunyai gabungan kekuatan vokal yang luar biasa serta kecekapannya bermain piano.
Greyson Chance memberitahu, dia tidak menghadapi sebarang masalah untuk dikenali sebagai penyanyi di usia semuda ini.
“Sebenarnya ia tidaklah terlalu sukar seperti yang disangka, ini kerana apa yang penting saya tahu untuk menyeimbangkan waktu saya.
“Walaupun sibuk, saya tetap memberikan tumpuan kepada pelajaran saya. Saya mempunyai seorang tenaga pengajar peribadi yang akan memastikan proses pelajaran saya berjalan seperti biasa,” katanya pada sidang akhbar di hotel JW Marriot, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dikatakan mempunyai kekuatan vokal yang lebih hebat daripada Justin Bieber, Greyson memberitahu dia lebih suka sekiranya tidak dibandingkan dengan penyanyi remaja nombor satu dunia itu.

“Bagaimana boleh dibandingkan jika kami berdua membawa genra muzik yang berbeza?
“Bagi saya Justin Bieber merupakan seorang penyanyi yang baik dan saya juga meminati hasil kerjanya,” katanya merendah diri.

Baru sahaja menceburi bidang ini setahun setengah yang lalu, Greyson memberitahu penglibatannya dalam dunia hiburan ini ada kaitan rapat dengan pengacara terkenal Ellen DeGeneres.
“Beliau merupakan orang yang bertanggungjawab membuka laluan kepada saya untuk bergelar penyanyi.

“Bagi saya beliau seorang rakan baik dan penjaga utama saya sejak berada di dalam industri ini dan saya sangat bertuah untuk itu,” katanya.
Berbicara mengenai sisi normalnya sebagai seorang remaja lelaki , Greyson memberitahu adakalanya dia juga berasa kecewa kerana tidak dapat menghabiskan masa bersama keluarga dan rakan-rakannya.

“Bahagian yang paling sukar untuk diterima apabila saya akan berada jauh dari keluarga dan rakan-rakan lain.
“Bagaimanapun untuk mengubati itu, ibu atau bapa saya akan bergilir-gilir menemani saya ketika mengadakan persembahan di luar negara, dan apa yang lebih penting kini adalah untuk memberi fokus kepada muzik saya,” katanya.

Memilih untuk menulis lagunya sendiri, menurut Greyson, dia bercita-cita untuk menjadi seorang pemuzik sehebat Bruno Mars suatu hari nanti.
“Separuh dari lagu yang terdapat di dalam album pertama Hold On ‘til the Night merupakan hasil ilham saya.

“Antara lagu yang menjadi lagu kegemaran saya untuk album ini adalah Take a Look at Me Now,” katanya bangga.
Ditanya perancangannya untuk 10 tahun akan datang, harapan Greyson hanya satu agar dia akan terus berada dalam dunia hiburan untuk membawa muziknya berada di tahap yang lebih tinggi.

“Menjadi penyanyi adalah antara cita-cita terbesar saya. Untuk itu, saya berharap muzik saya akan terus membesar bersama saya,” katanya.
Dalam rangka lawatannya ke Kuala Lumpur baru-baru ini, Greyson tidak melepaskan peluang bertemu secara mesra dengan peminatnya di showcase yang diadakan di KL Live.

Mendendangkan enam buah lagu daripada album sulungnya itu, Greyson nyata terkejut dengan sambutan yang diberikan lebih 2000 peminatnya pada malam itu.

Catat Ulasan

0 Ulasan