JOE Frazier, bekas juara heavyweight yang dikenali kerana pertarungan epik dengan Muhammad Ali, meninggal dunia semalam, tidak lama selepas dikesan menghidap kanser. Beliau berusia 67 tahun.
Keluarganya mengeluarkan kenyataan media menge�sahkan kematian Frazier, sejurus selepas itu.
Ikon tinju itu memenangi pingat emas Olimpik dalam karier penuh gemilang sepanjang 29 tahun tetapi lebih dikenali kerana bertarung dengan Ali pada 1970 menerusi tiga pertarungan epik termasuk satu yang dikenali sebagai “Thrilla in Manila.”
Beliau dirawat di rumah selepas dikesan mengalami kanser hati di peringkat tinggi beberapa minggu lalu hingga meragut nyawanya, kata rakan kepada keluarganya.
Frazier, yang digelar ‘Smokin’ Joe’, meraih dua gelaran utama heavyweight dan berjaya menewaskan ramai peninju termasuk Ali, George Foreman, Jerry Quarry, Joe Bugner, Oscar Bonavena dan George Chuvalo.
Frazier mewarnai zaman kegemilangan tinju kategori heavyweight pada 1970-an. Beliau menamatkan kariernya dengan 32 kemenangan (27 knockout), empat kekalahan dan satu seri.
Empat kekalahannya hanya disumbang dua lagi peninju legenda pada era itu iaitu Ali dan Foreman.
Manny Pacquiao mendengar berita tahun itu sebaik tiba malam semalam di Las Vegas untuk pertembungan dengan Juan Manuel Marquez, Sabtu depan.
“Tinju kehilangan seorang juara hebat, dan sukan ini kehilangan seorang duta,” kata Pacquiao. “Doa saya untuk keluarganya.”
Frazier adalah peninju pertama menewaskan Ali, dengan pertarungan 15 pusingan pada 1971 di Madison Square Garden, yang digelar ‘Pertarungan Abad Ini’. Sejumlah 300 juta peminat di seluruh dunia menyaksikan pertarungan itu di televisyen.
Pengurus perniagaan Frazier, Leslie Wolff berkata pertarungan itu berlanjutan hingga tiga generasi dan menyebabkan jumlah peminat Frazier naik mendadak.
“Jika anda melihat kepada sejarah yang berlaku, banyak emosi dirasai,” kata Wolff. “Apabila anda mempunyai seorang legenda, orang ramai memang memberi maklum balas kepada mereka.
Frazier dan Ali kemudiannya bertarung dua kali lagi.
Ali memenangi pertarungan 12 pusingan pada 1974 juga di Garden dan melengkap�kan trilogi pertarungan itu dengan kemenangan “Thrilla in Manila” pada 1975 dengan menewaskan Frazier selepas 14 pusingan di Filipina.
Jurulatih Frazier, Eddie Futch masuk untuk menghentikan pertarungan ganas itu selepas pusingan ke-14. Futch menahan Frazier yang tidak boleh bangun tetapi masih mahu meneruskan pertarungan di pusingan ke-15.
“Saya rasakan bagaikan hampir mati,” kata Ali selepas itu.
Bertahun lamanya selepas pertarungan itu Frazier memendam rasa terhadap Ali yang sering memulakan perang mulut terhadapnya.
Ali sering menggunakan perkataan Uncle Tom dan gorila sebagai gelaran terhadap Frazier bagaimanapun Frazier lebih senang bersikap tenang dan baru-baru ini memaafkan Ali.
Frazier memenangi gelaran heavyweight Majlis Tinju Dunia (WBC) dan Persatuan Tinju Dunia (WBA) pada 1970 selepas menewaskan Jimmy Ellis pada pusingan kelima di Madison Square Garden.
Beliau mempertahankan gelaran itu empat kali sebelum berdepan dengan Foreman yang bertubuh besar dan lebih kuat pada 1973.
Tidak sepopular pertarungan dengan Ali tetapi cukup dinamik adalah dua pertarungan berat sebelah menentang Foreman.
Frazier memulakan kariernya dengan 29 kemenangan berturut-turut sebelum tewas kali pertama dan kehilangan gelaran heavyweight apabila dia tumbang enam kali dalam dua pusingan oleh Foreman di Kingston, Jamaica pada 1973.
Kedua-duanya bertarung kali kedua pada 1976 apabila tumbukan ‘hook’ kiri Foreman yang begitu kuat menyebabkan Frazier terangkat. Perlawanan itu dihentikan pada pusingan kelima selepas ditumbangkan kali kedua.
Sebagai ahli Dewan Kemasyhuran Tinju Antarabangsa, Frazier adalah satu-satunya peninju Amerika Syarikat yang memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik 1964 di Tokyo.
Baru-baru ini, Frazier beralih arah ke bidang nyanyian apabila menyertai kumpulan penyanyi latar, Knockouts.
PROFIL
Nama: Joe Frazier
Tarikh lahir: 12 Januari 1944
Negara: Amerika Syarikat
Tinggi: 1.82 m
Gelaran: Smokin’ Joe
Rekod Tinju: 32 menang 4 kalah 1 seri 27 KO
Bersara: 1981
2 Ulasan
mmg feza buta sejarah. baca entri ni baru tahu..haha
memang buta sejarah feza ni. Baca Entri ni baru tahu.