![]() |
Gambar Contoh |
Inilah yang terjadi pada peneroka yag mempunyai senjata buatan sendiri walau pun bini dia tak beri amaran..
Jom Baca
Sikap degil seorang peneroka berusia 66 tahun di Felda Besout, di sini, yang tidak mengendahkan nasihat isterinya, akhirnya membawa padah apabila dia ditangkap sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanjung Malim pada 28 Oktober lalu atas kesalahan memiliki senjata api buatan sendiri.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Md Tahir Kasim berkata, polis menerima maklumat tentang kegiatan suspek daripada orang awam sebelum menjalankan serbuan di rumahnya pada jam 3.40 petang, hari berkenaan.
Menurut beliau, serbuan yang diketuai Pegawai Risikan dan Operasi, Inspektor Shahrul Shamsudin berjaya merampas lima laras senjata api kayu buatan sendiri serta enam rangka senjata api yang belum lengkap dipasang.
“Kita juga berjaya merampas dua tabung simpanan angin, 96 guli dipercayai diguna sebagai peluru, lapan pengukir berhulu kayu, satu pengukir berbentuk segi tiga, satu penukul kecil, satu pahat bersaiz kecil, satu pahat bersaiz besar, sebatang pembaris, satu playar, satu pemutar skru dan satu pita pelekat.
“Semua hasil rampasan ini ditemui di belakang rumah suspek semasa serbuan dan suspek telah ditahan anggota polis untuk membantu siasatan kes ini,” katanya pada sidang media di IPD Tanjung Malim, di sini, semalam.
Katanya, hasil siasatan awal, suspek didapati membuat senjata api untuk kegunaan menembak ayam, namun dalam masa yang sama turut mendapat permintaan daripada orang ramai.
Md Tahir berkata, polis mendapat suspek mempunyai kemahiran bertukang dan berkebolehan membuat sendiri senjata api yang dijual dengan kadar harga RM350 selaras.
“Setakat ini, suspek telah menjual sebanyak empat laras senjata api buatan sendiri yang menggunakan guli sebagai peluru kepada orang awam dan kita khuatir senjata api ini boleh membahayakan nyawa sekiranya disalah guna.
“Semua senjata api yang dirampas akan dihantar ke bahagian persenjataan untuk diuji dan ini merupakan kali pertama kita menerima kes seumpama ini,” katanya.
Md Tahir mengingatkan, memiliki senjata api buatan sendiri merupakan satu kesalahan dan menyeru semua pembeli senjata api buatan suspek agar menyerahkan senjata api berkenaan kepada polis untuk membantu siasatan.
“Suspek ditahan di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 kerana kesalahan memiliki senjata tanpa lesen atau permit yang sah dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan tindakan penjara tujuh tahun atau denda RM10,000.
“Kita berterima kasih atas kerjasama orang ramai yang menyalurkan maklumat berhubung kes ini dan kita harap kerjasama seperti ini dapat diteruskan demi menjaga keamanan dan ketenteraman awam,” katanya
0 Ulasan