Bermain permainan video sama ada komputer atau konsol terutama berbentuk pembunuhan secara keterlaluan boleh mempengaruhi otak bawah sedar untuk bertindak ganas.
Penasihat Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim), Hanafi Abdul Malek, berkata ketika ini hampir kebanyakan permainan video mempromosikan keganasan dengan pemain perlu membunuh untuk meneruskan misi ke tahap selanjutnya.
“Apabila berlaku ketagihan, ia boleh mempengaruhi otak bertindak ganas, malah saya mengendalikan satu kes, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun menyerang ibunya dengan pisau kerana wanita itu menghalang dia bermain permainan video di kafe siber.
“Permainan video boleh membuatkan seseorang teruja dan ketagih. Tanpa kawalan ia boleh mempengaruhi tingkah laku sehingga melakukan perbuatan melampau ke atas anggota keluarga,” katanya yang dihubungi, semalam.
Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai seorang remaja berusia 15 tahun yang bukan saja memaki-hamun nenek, malah cuba menetak bapa saudaranya dengan parang kerana warga emas itu secara tidak sengaja menutup suis ketika dia asyik bermain permainan komputer.
Dalam kejadian di Batu 4, Jalan Gombak, Setapak di sini, neneknya yang berusia 70-an itu mahu menutup alat pendingin hawa, tetapi tidak menyedari suis itu bersambung dengan komputer milik cucunya yang leka bermain permainan komputer
Kesilapan nenek itu menimbulkan kemarahan cucunya kerana permainannya tergendala lalu mengamuk dan menghamburkan kata-kata kesat sebelum warga emas itu memanggil bapa saudara namun gagal memujuk sebaliknya hampir ditetak dengan parang.
Hanafi berkata, sesetengah permainan video bukan sekadar berbentuk keganasan, malah dipercayai mempunyai agenda tersembunyi
1 Ulasan