Aktres jelita, Rozita Che Wan bakal membuka butik tudung bersama dua adiknya, pelakon Ayu Raudhah dan Rubytah iaitu isteri kepada pelawak Lan Pet Pet.
Kata Rozita, idea datang daripada adiknya, Ruby yang merupakan bekas penuntut fesyen di sebuah koleh swasta.
“Idea membuka perniagaan ini sebenarnya sudah lama, tetapi kami mencari produk paling sesuai. Kami akan membuka butik di USJ, Subang.
"Buat masa ini, kami sudah menyiapkan 100 jenis rekaan. Cuma kami mahu memperbanyakkan lagi koleksi rekaan dan juga fabrik,” katanya ketika ditemui selepas majlis Anugerah Skrin 2011, Jumaat lalu.
Menurut Rozita, butik itu akan dilancarkan sekitar Disember ini dan mereka sepakat menamakan butik mereka, Padusi.
"Padusi dalam bahasa Minang membawa maksud wanita yang lembut. Jadi sesuailah dengan perniagaan yang kami jalankan.
"Rekaan tudung juga berlainan dan sesuai digayakan mengikut majlis seperti makan malam, ke pejabat, untuk bersantai," katanya.
Rozita berkata, biarpun belum memulakan perniagaan tersebut secara rasmi, dia kini sudah mendapat banyak tempahan.
Lebih istimewa, kata Rozita kesemua rekaan tudung tersebut dibuat sendiri olehnya.
“Saya suka mereka tudung dengan fesyen terbaru, namun dari segi jahitan kami ada tukang jahit sendiri.
“Setakat ini dah ramai yang tempah secara dalam talian. Harga yang ditawarkan bermula dari RM79 ke atas,” katanya.
Sementara itu, bercerita mengenai pengalamannya mengacarakan Anugerah Skrin 2011, Rozita berkata, dia puas hati selepas mendapat pujian dari pihak produksi program tersebut.
“Ini pengalaman saya jadi pengacara, Alhamdulillah semua berjalan lancar dan ramai yang puji. Malah jika diberi peluang lagi, saya tidak kisah untuk mencuba," katanya
1 Ulasan