Bagaikan Tinggal Di Kandang

Bagaikan Tinggal Di Kandang

Bagaikan hidup di dalam kandang haiwan! Begitulah nasib yang terpaksa ditanggung oleh empat sekeluarga yang terpaksa tinggal di rumah usang, Kampung Pulau Gajah, Sabak di sini.

Keluarga terbabit yang menetap di rumah itu sejak lima tahun lalu, terpaksa tinggal berhimpit-himpit bersama burung, kambing biri-biri, ayam, serta kucing yang mengundang hidup tidak selesa.

Lebih menyedihkan, apabila rumah papan yang didiami hampir roboh dengan tiangnya yang senget di samping lantainya kian reput akibat hakisan pantai di kawasan terbabit.

Pemilik rumah itu, Fatma Yahya, 37, berkata, rumah terbabit merupakan peninggalan keluarga suaminya yang didiami sejak lima tahun lalu.

“Saya tidak bekerja, manakala suami, hanya bekerja kilang di Kawasan Perindustrian, Pengkalan Chepa.

“Pendapatan yang diperolehi suami, tidaklah seberapa hanya RM400 sebulan dan terpaksa menanggung dua lagi anak, Mohamad Hafiz Azlan Sulaiman, 5 serta Mohamad Aqif Aiman, 4 yang masih memerlukan perhatian,” katanya kepada Sinar Harian.

Fatma berkata, walaupun keadaan rumahnya tidak selesa disebabkan terpaksa tinggal bersama 15 kambing, 20 burung, serta beberapa ekor ayam dan kucing namun mereka terpaksa kerana tiada tempat tinggal lain.

“Kesemua haiwan peliharaan ini dibela suami bagi menambahkan pendapatan keluarga.

“Pada mulanya kambing itu diletakkan di kawasan bawah rumah tetapi disebabkan haiwan terbabit sering kali dicuri, kami bawa masuk dalam rumah walaupun terpaksa hidup dalam keadaan bersesak-sesak dan sempit,” katanya.

“Rumah kami boleh roboh pada bila-bila masa tetapi kami tidak mempunyai tempat tinggal melainkan kediaman ini sahaja.

“Setakat ini kami belum pernah menerima mana-mana bantuan kerana tidak tahu cara untuk membuat permohonan,” katanya.

Fatma berkata, apa yang diharapkan agar pihak berwajib dapat membantu keluarganya bagi meringankan beban yang ditanggung.

“Saya hanya mengharapkan bantuan rumah kerana anak sulung bakal mendaftar ke sekolah tahun depan.

“Sekurang-kurangnya apabila tinggal di rumah baru, anak-anak dapat menjalani kehidupan lebih baik,” katanya.

Catat Ulasan

0 Ulasan