Pihak berkuasa di bandar Yining, wilayah Xinjiang memulakan kempen untuk menyekat penduduk daripada memakai tudung dan menyimpan janggut panjang dalam usaha untuk 'mengurangkan kesedaran agama'.
Notis daripada pihak berkuasa Yining itu dimuat naik sepenuhnya oleh beberapa laman web berita China dan oleh stesen
Phoenix Television di Hong Kong, tetapi kemudian hilang daripada laman web kerajaan Yining
(www.yining.gov.cn).
Ramai penduduk Uighur beragama Islam yang menjadi majoriti di Xinjiang membenci peraturan dan kawalan China terhadap agama, budaya dan bahasa mereka, dan kekacauan berdarah telah beberapa kali meletus di wilayah itu.
Menurut notis itu, kerajaan di daerah Dunmaili, Yining memutuskan untuk 'melaksanakan langkah Parti Komunis bagi mengurangkan kesedaran agama dan menggalakkan cara hidup bertamadun dan sihat'.
Antara tujuan kempen itu adalah untuk menghentikan 'fenomena luar biasa di kalangan wanita dan pemuda etnik yang berpakaian Arab, menyimpan janggut panjang atau memakai tudung yang menutup muka'.
Wanita yang sudah pun 'melalui transformasi' menerusi kempen itu akan dijemput untuk berceramah mengenai pengalaman mereka, seperti juga wanita yang telah berjaya dalam kerjaya masing-masing.
Jurucakap kerajaan Xinjiang, Hou Hanmin berkata, beliau tidak tahu mengenai notis itu tetapi pada umumnya penduduk di wilayah tersebut termasuk minoriti etnik tidak dikenakan sekatan berhubung pakaian.
"Namun bagi pekerjaan tertentu dan dalam bidang pendidikan, terdapat peraturan yang menetapkan seseorang itu tidak boleh berpakaian sesuka hati," katanya.
Yining yang juga dikenali sebagai Ghulja atau Yili mempunyai kira-kira 515,000 penduduk, 46 peratus daripadanya terdiri daripada etnik Uighur, menurut angka banci 2010.
0 Ulasan