Bintang Harry Potter, Daniel Radcliffe menduduki tangga teratas senarai penghibur muda Britain berumur di bawah 30 tahun yang memperolehi pendapatan tertinggi dalam majalah Heat hari ini.
Radcliffe, 22, yang melakonkan watak sebagai budak sihir dalam filem yang diadaptasi daripada novel J.K. Rowling itu memperolehi 51.8 juta pound (RM256 juta) sepanjang kariernya.
Di tempat kedua pula ialah pelakon Keira Knightley yang pernah berlakon dalam beberapa siri filem francais Pirates of the Caribbean dengan jumlah pendapatan 30.9 pound (RM152 juta).
Robert Pattinson yang memegang watak utama dalam filem francais Twilight pula menduduki tangga ketiga dengan pendapatan sebanyak 24.9 juta pound (RM123 juta).
Bintang gandingan Radcliffe dalam filem Harry Potter, Emma Watson dan Rupert Grint berada di kedudukan keempat dan kelima dengan pendapatan masing-masing 23.9 juta pound (RM118 juta) dan 21.7 juta pound (RM107 juta).
Penyanyi Adele menjadi pendatang baru yang berada pada kedudukan paling atas iaitu di tangga ke-16 dengan pendapatan sebanyak 7.7 juta pound (RM38 juta).
Tiga bintang yang terkeluar daripada senarai tahun ini ialah bintang opera Katherine Jenkins dan model Kelly Brook yang telah melebihi usia 30 tahun, manakala penyanyi Amy Winehouse yang menduduki tangga ke-15 tahun lalu tersingkir kerana meninggal dunia pada Julai lalu.
0 Ulasan