Kajang Rugi 5 Juta Akibat Banjir

Kajang Rugi 5 Juta Akibat Banjir

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kejadian banjir kilat di sini Jumaat lalu menyebabkan kerugian dianggarkan mencecah RM5 juta.
Katanya, jumlah tersebut berdasarkan rekod dan bancian membabitkan kerosakan kenderaan dan kemudahan infrastruktur serta barangan milik peniaga yang dilakukan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan agensi bertanggungjawab.
“Kejadian banjir kilat petang Jumaat lalu adalah satu kejadian yang tidak dijangka kerana saya diberikan taklimat oleh Jurutera Jurutera Daerah Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Hulu Langat, Ir Mohd Nazri Yasmin, punca banjir kilat yang berlaku adalah disebabkan hujan berterusan selama empat jam sehingga mencapai bacaan 91 mm (milimeter).

“Bahagian Hidrologi JPS Selangor merekodkan bacaan jumlah hujan melebihi 60 mm bermula jam 2.30 petang iaitu 61mm dan berterusan meningkat sehingga 90 mm pada jam lima petang.
“Keadaan ini menyebabkan sungai utama iaitu Sungai Langat menghampiri paras bahaya yang seterusnya mengakibatkan dua sungai utama yang melalui pekan Kajang iaitu Sungai Jeluh dan Sungai Merbau melimpahi tebing.
“Selain itu ‘soffit level’ jambatan Sungai Jeluh di hadapan Pasar Kajang yang berada di bawah paras banjir menyebabkan ‘backflow water’ air Sungai Jeluh tinggi dan banjir memasuki seluruh kawasan Pasar Kajang hinggalah Plaza Metro Kajang,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke lokasi kejadian banjir, lewat malam semalam.
Menurutnya, beberapa langkah jangka pendek akan dilaksanakan di mana usaha membersihkan kawasan lokasi terbabit banjir dengan kerjasama beberapa agensi pihak berkuasa tempatan dan pemimpin setempat.
“Usaha pembersihan oleh MPKj dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSj), bomba dan pemimpin PR adalah langkah tepat.
“Bagi langkah jangka panjang pula, naik taraf Sungai Jeluh yang pada masa kini mempunyai lebar lapan meter akan dibesarkan sehingga mencapai tahap yang sepatutnya iaitu 12 meter dan peruntukan untuk menjalankan kerja menaik taraf sungai berkenaan bernilai RM3.5 juta sudah diluluskan,” katanya.
Kejadian banjir kilat yang berlaku di Kajang pada Jumaat lalu sehingga menyebabkan lebih 200 kenderaan mengalami kerosakan dan 100 premis perniagaan ditenggelami air.

Catat Ulasan

0 Ulasan