Potongan gaji Kabinet Singapura tidak cukup

Potongan gaji Kabinet Singapura tidak cukup

Parti pembangkang Singapura, Parti Demokratik (SDP) menyifatkan cadangan mengurangkan kira-kira satu pertiga dari gaji pemimpin utamanya masih tidak memenuhi jangkaannya.
Ketua Unit Polisi parti itu, Dr. James Gomez berkata, SDP telah mencadangkan gaji Perdana Menteri Lee Hsien Loong dikurangkan kepada S$672,000 (RM1.6 juta) setahun, sementara gaji menteri-menteri kepada S$504,000 (RM1.2 juta) setahun.
“Gaji yang diterima Perdana Menteri dan menteri-menteri masih lebih tinggi berbanding pemimpin dunia lain.

“Bagaimanapun, kami melihat cadangan ini sebagai langkah pertama kepada lebih banyak penelitian supaya gaji ahli politik negara ini sama dengan ketua-ketua negara di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan laman web masyarakat onlinecitizen.com.
Gomez berkata, semakan semula gaji menteri-menteri juga perlu dilakukan setiap tahun oleh sebuah jawatankuasa bebas.

Sebuah badan bukan kerajaan diketuai Gerard Ee semalam mengumumkan, republik ini akan mengurangkan gaji pemimpin mereka bagi mengurangkan kemarahan rakyat selepas kemenangan Perdana Menteri dalam pilihan raya umum tahun lepas.

Hsien Loong akan menerima gaji S$2.2 juta (RM5.37 juta) selepas dikurangkan sebanyak 36 peratus, dipercayai pendapatan paling tinggi ketua kerajaan di dunia, empat kali ganda daripada gaji Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang menerima AS$400,000 (RM1.2 juta) setahun.
Presiden Singapura, Tony Tan juga akan menyaksikan potongan gaji sebanyak 51 peratus kepada S$1.54 juta (RM3.76 juta).

Sementara itu, rakyat Singapura menyambut baik cadangan tersebut yang diumumkan semalam dalam satu laporan tangga gaji yang didedahkan.
Menurut mereka, langkah yang sepatutnya sudah lama dilaksanakan itu merupakan satu keputusan yang tepat kerana ia berkaitan dengan keadaan ekonomi seperti kadar pengangguran dan pertambahan pendapatan.

Catat Ulasan

0 Ulasan