Asyik Cerita Melayu Klasik P. Ramlee !!!

Asyik Cerita Melayu Klasik P. Ramlee !!!

Jika diperhatikan, hampir semua stesen televisyen cenderung menayang kan fi lem Allahyarham P Ramlee, biarpun terdapat banyak filem Melayu klasik yang masih relevan ditayangkan ketika ini.

Nama-nama seperti Nordin Ahmad, Mustafa Maarof, Ning Yatimah, Ahmad Jun, Saadiah, Siti Tanjung, Aziz Jaafar, Ahmad Daud, Sharif Medan, Mat Sentul, Datuk Maria Menado, S Kadarisman, dan Datuk Ahmad Mahmud juga tidak kurang hebatnya serta mampu membawa watak berkesan meskipun sebagai pembantu.

Malah lakonan Siput Sarawak, Siti Tanjung Perak, Mak Dara, Mak Enon, Aini Jasmin juga wajar diberi ruang dan dipertontonkan.

Bukannya mahu menidakkan kehebatan P Ramlee sebagai Seniman Agung, namun karya rakan seangkatannya juga harus diberi layanan sama rata.

Filem lakonan P Ramlee, seperti Seniman Bujang Lapok, Madu Tiga, Masam-Masam Manis, Nasib Do Re Mi dan Ali Baba Bujang Lapok sering kali diulang tayang televisyen dan hampir semua lapisan masyarakat dapat menghafal kisah, skrip, mahupun bait-bait lagu yang terdapat dalam filem tersebut.

Namun bagaimana pula dengan filem Doktor, Lobang Neraka, Mambang Moden, Mat Lanon, Norlela, Putera Bertopeng, Patah Hati, Pilih Menantu, Rasa Sayang Eh, Raden Mas dan ratusan lagi lakonan bintang legenda lain?

Isu ini bukan sahaja pernah dibincangkan dalam blog tertentu, bahkan turut disuarakan peminat filem Melayu Klasik. Tidak terkecuali, pembaca Sinar Harian yang mengharapkan filem-filem klasik lain tidak dipinggirkan.

Bagai mencurahkan air di daun keladi, pandangan mereka tidak pernah dihiraukan pihak stesen televisyen yang hanya ‘ghairah’ mengulang tayang filem P Ramlee sahaja. Bukan mahu menuding jari pada sesiapa, namun sebagai media utama, Radio Televisyen Malaysia (RTM) terutamanya harus peka dengan isu ini agar karya-karya klasik lain tidak dipinggirkan begitu saja.

Bagi merungkai persoalan ini, Zass, turut mendapatkan pandangan Timbalan Ketua Pengarah (Penyiaran Strategik) Radio Televisyen Malaysia (RTM), Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus.


Filem Melayu klasik masih diminati sehingga ke hari ini. Namun kebanyakan filem ditayangkan lebih menjurus kepada lakonan P Ramlee sahaja. Adakah filem lakonannya sahaja menjadi pilihan?

Dr Jailani: Memang ada benarnya, filem Melayu klasik masih mempunyai pengikut sehingga ke hari ini. Malah pengikut mereka bukan sahaja terdiri daripada orang lama, tetapi termasuklah generasi muda yang telah didedahkan mengenai kewujudan filem ini. Saya akui sepanjang menayangkan slot Lagenda di TV2, pihak kami cenderung menayangkan filem Allahyarham P Ramlee, namun semua itu di atas permintaan penonton.

Apakah filem Melayu klasik lain, kurang mendapat sambutan?

Dr Jailani: Pihak kami sentiasa mempelbagaikan rancangan bagi tontonan masyarakat. Malah sebelum ini kami juga pernah menyiarkan filem Melayu klasik yang lain. Cuma kekerapannya tidak seperti filem Allahyarham P Ramlee memandangkan khalayak lebih gemar menonton filem lakonan beliau. Malah, rating bagi filem lakonan Allahyarham adalah yang tertinggi berbanding filem Melayu klasik lain.

Tidakkah cara itu seperti meminggirkan filem klasik lain sedangkan kita sedia maklum ia mempunyai peminat tersendiri?

Dr Jailani: Sebenarnya bukan pihak kami meminggirkan mana-mana filem Melayu klasik. Sebagai stesen televisyen, kami mahukan khalayak berpuas hati dengan rancangan yang disiarkan. Namun, penyiaran rancangan ini tidak boleh diputuskan tanpa persetujuan pihak terbabit untuk menyiarkannya.

Bagi pihak RTM sendiri, adakah tuan tidak pernah menerima sebarang rungutan mengenai perkara ini?

Dr Jailani: Kami sentiasa membuat pantauan dan ada terima aduan mengenai kekurangan filem Melayu klasik ditayangkan pihak kami. Pun begitu, kami cuba perbaiki kelemahan ini secara berperingkat. Saya yakin jika khalayak sentiasa beri respons positif, pihak kami tidak teragak-agak untuk menayangkannya lebih kerap.

Siapa yang berhak membuat keputusan untuk menyiarkan filem mahu pun drama di saluran yang sedia ada?

Dr Jailani: Pihak kami mempunyai lembaga pengarah. Biasanya apabila mahu menyiarkan sesebuah rancangan itu, kami perlu membentangkannya kepada lembaga pengarah terlebih dahulu. Perkara ini kemudiannya dibawa ke dalam mesyuarat, sekiranya mereka bersetuju barulah boleh ditayangkan.

Jika begitu, adakah sebarang pendekatan diambil bagi mengatasi perkara ini? Mungkin pihak RTM akan memperbanyakkan lagi siaran filem Melayu klasik dan tidak tertumpu kepada filem P Ramlee sahaja?

Catat Ulasan

2 Ulasan

fieda berkata…
filem p ramlee juga la tetap dihati..
Nadine berkata…
Dari segi kualiti(mesej, cerita, lakonan, teknikal) mmg filem P.Ramlee & karya2 klasik lain adalah sama hebat tapi.... Tak tau la. Mungkin dari segi humor citer2 P.Ramlee yg paling terkesan2 sngt. :)