Malaysia Mara Ke Akhir Piala Thomas

Malaysia Mara Ke Akhir Piala Thomas

SECARA kasar, skuad Piala Thomas negara sudah pun layak ke aksi final Piala Thomas di Wuhan, China Mei depan memandangkan empat tempat disediakan untuk pasukan dari Asia termasuk penyandang juara China yang layak secara automatik.
Kedudukan tersebut sah selepas pasukan negara mara ke separuh akhir menewaskan India, 3-0 pada suku akhir kelayakan Piala Thomas di Macau, sebentar tadi.
Mata pertama diperoleh menerusi perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei yang membenam asakan lawan Ajay Jayaram, 21-12,17-21,21-8.
Sementara, gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong turut mudah mendapat mata kedua dengan menundukkan Rupesh Kumar KT-Sanave Thomas, 21-14, 23-21.
Manakala, perseorangan ketiga, Muhammad Hafiz Hashim yang sebelum ini gagal menyumbang mata, berjaya menebus kekecewaan apabila meraih kemenangan ke atas Kashyap Parupalli, 21-17, 18-21, 21-11.
Meskipun tumbang di set kedua, Hafiz kembali menemui rentak untuk menebus kemenangan di set penentuan.
Perlawanan separuh akhir esok, Malaysia bertemu Jepun, jam 6.30 petang.
Sementara itu, saingan skuad Piala Uber negara berakhir selepas tewas 0-3 kepada Thailand pada aksi suku akhir.
Esok, mereka akan bertemu Indonesia bagi penentuan tempat kelima hingga lapan.

Catat Ulasan

0 Ulasan