Program roket Pyongyang dibimbangi

Program roket Pyongyang dibimbangi

Pemimpin Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan China memberi amaran terhadap ancaman keganasan nuklear pada hari terakhir Sidang Kemuncak mengenai Keselamatan Nuklear, berikutan kebimbangan terhadap rancangan Korea Utara mahu melancarkan roket jarak jauh.
Sebanyak 60 pemimpin dunia termasuk Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri sidang kemuncak dua hari itu di sini bagi membincangkan langkah-langkah untuk mengelakkan pengganas meletupkan senjata atom di bandar-bandar utama.
Para pemimpin dunia itu dijadual mengeluarkan satu kenyataan hari ini berhubung usaha-usaha untuk mengurangkan bekalan bahan nuklear dunia menjelang 2014.
Perbincangan di sidang kemuncak itu tertumpu kepada rancangan Korea Utara untuk melancarkan satelit menggunakan roket jarak jauh pada 15 April ini sempena ulang tahun kelahiran pengasas negara itu, Kim Il Sung.
Washington dan Seoul menyifatkan pelancaran satelit itu sebagai tindakan untuk mengaburi mata dunia terhadap program pembangunan senjata nuklear Korea Utara.
Pyongyang berkata, satelit itu adalah sebahagian daripada program angkasa lepas negara itu untuk tujuan keamanan termasuk bagi meramal keadaan cuaca.
Presiden AS, Barack Obama dan Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak semalam menggesa China, sekutu kuat dan penyumbang ekonomi Korea Utara supaya memujuk Pyongyang membatalkan program satelitnya itu.

Walaupun AS, China dan Korea Selatan tidak menyebut isu Korea Utara semasa ucapan pembukaan pada sidang kemuncak itu hari ini, isu pelancaran roket itu masih menjadi topik utama perbincangan pemimpin-pemimpin di luar persidangan itu.
Presiden Chian, Hu Jintao dalam ucapan pembukaannya menggesa pemimpin dunia bekerjasama menghapuskan pertambahan senjata nuklear dan akar umbi keganasan nuklear.
Obama pula berkata, pemimpin dunia perlu memastikan tahap kawalan yang ketat terhadap bahan nuklear agar ia tidak terlepas ke tangan kumpulan pengganas yang mahu menggunakannya untuk membunuh beratus-ratus ribu nyawa.
Myung-bak berkata, pertambahan penggunaan senjata nuklear dan aktiviti pengganas merupakan ancaman besar terhadap keamanan antarabangsa.
"Tiada sempadan dalam dunia pengganas," katanya.
Pengumuman mengejut Korea Utara pada 11 hari lalu berhubung rancangannya untuk melancarkan satelit itu dibuat tidak lama selepas Pyongyang dan Washington menandatangani perjanjian penghantaran bantuan makanan selepas negara Komunis itu bersetuju membekukan program nuklearnya.

Catat Ulasan

0 Ulasan