Gara-gara menarik telinga penjaga gol Felda United, penyerang import Negeri Sembilan, Jean-Emmanuel Effa Owona digantung dua perlawanan dan didenda RM1,000 di samping tambahan RM 2,000 kerana menolak pipi seorang lagi pemain Felda, S. Sivanesan.
Namun, Owona sedikit bernasib baik kerana satu lagi tuduhan iaitu memukul kepala Mohd. Hardi Jaafar dilepaskan, kerana tidak dapat dibuktikan melalui rakaman video.
Hukuman itu diputuskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufik Abdul Razak selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan yang turut dihadiri Owona, semalam.
''Owona dikenakan tiga tuduhan dan bagi tuduhan pertama dakwaan pertama digugurkan setelah menyemak rakaman video yang diberi, tiada dapat dibuktikan tuduhan berkenaan.
''Bagaimanapun, Owona mengaku bersalah atas dakwaan menarik telinga penjaga gol Felda dan jawatankuasa memutuskan untuk menggantung dua perlawanan dan denda RM1,000 manakala pertuduhan ketiga, melalui rakaman video memang ada kes terhadapnya.
''Mengambil kira sumbangannya yang menjaringkan dua gol penyamaan ketika membantu Negeri Sembilan yang dianggap wakil Malaysia ketika berdepan Persebaya, jawatankuasa berpuas hati untuk mendenda RM2,000 sahaja dan tidak ada penggantungan perlawanan.
''Secara keseluruhan, dia akan menjalani penggantungan dua perlawanan bermula hari ini dan denda sebanyak RM3,000," katanya pada sidang media di Wisma FAM, semalam.
Sebelum ini, Hardi Jaafar dan seorang lagi pemain Felda, Mohd. Firdaus Fauzi dikenakan penggantungan lima perlawanan dan denda RM 5,000 selepas didapati bersalah terlibat dalam pergaduhan dengan penyokong Negeri Sembilan di Stadium Paroi pada 21 Januari lalu
1 Ulasan