
Semua wanita Islam di Tasikmalaya, Jawa Barat termasuk pengunjung ke bandar itu, tidak lama lagi akan diwajibkan memakai tudung di bawah peraturan yang dirangka kerajaan tempatan.
Majlis Bandaraya Tasikmalaya sedang merangka peraturan, dikuatkuasakan di bawah Undang-Undang Kecil Nilai Hidup Masyarakat Berlandaskan Islam yang diluluskan pada 2009, dan dijangka selesai bulan ini.
Setiausaha Bandar Tasikmalaya Tio Indra Setiadi berkata pasukan khas akan ditubuhkan seperti polis syariah Aceh untuk menguatkuasakan ordinan itu kerana kesalahan syariah tidak boleh dikendalikan polis nasional.
"Penduduk yang bercadang membuat laporan berhubung pencabulan ordinan itu akan menghadapi kesukaran sekiranya kita tidak mempunyai sistem untuk menguatkuasakannya," katanya, memetik laporan akhbar harian bahasa Inggeris, The Jakarta Post, Selasa.
Beliau berkata ordinan Tasikmalaya bagaimanapun berbeza daripada undang-undang Syariah di Aceh kerana hukuman akan diputuskan oleh sistem mahkamah sedia ada dan tiada hukuman sebat seperti di Aceh.
"Undang-undang kecil ini bertujuan mendidik orang ramai supaya hidup dengan tatacara Islam," katanya.
Ordinan itu yang diluluskan Datuk Bandar Tasikmalaya Syarif Hidayat pada 24 September 2009, digubal berhubung kebimbangan penduduk setempat tentang kesan globalisasi yang boleh memudaratkan mereka.
Ordinan itu juga menyenaraikan 15 kesalahan tambahan termasuk rasuah, pelacuran, zina, homoseksual, penyalahgunaan dan pengedaran dadah, minum arak, pornografi, kegiatan samseng, menyebarkan kultus dan pengguguran janin.
Speaker Majlis Bandaraya Tasikmalaya Ruhimat berkata peraturan itu digubal bukan kerana desakan pertubuhan Islam tetapi berdasarkan 99 peratus penduduk Tasikmalaya adalah Islam.
Ruhimat bagaimanapun percaya polis khas syariah tidak perlu ditubuhkan untuk menguatkuasakan ordinan itu kerana polis nasional berupaya menanganinya.
2 Ulasan