Tentukan Puasa Pun Nak Gaduh Di Indonesia

Tentukan Puasa Pun Nak Gaduh Di Indonesia

ramadhan

Organisasi Islam kedua terbesar di negara ini, Muhammadiyah berkata, kerajaan perlu membiarkan tugas untuk menentukan hari pertama puasa dan hari raya Aidilfitri kepada umat Islam dan tidak campur tangan dalam urusan itu.

“Kerajaan hanya perlu memutuskan hari cuti umum untuk semua,” kata Pengerusi Muhammadiyah, Din Syamsuddin seperti mana dipetik daripada agensi berita Antara.

Din turut berkata, tidak akan ada masalah jika umat Islam memutuskan untuk berpuasa pada hari berbeza. Menurutnya, telah wujud perbezaan selama bertahun-tahun dan ia tidak akan menyebabkan perpecahan dalam komuniti umat Islam di negara itu.

“Kita tidak perlu memanjangkan isu ini. Puasa perlu dilakukan berdasarkan kepercayaan peribadi,” katanya.

Muhammadiyah memutuskan bulan Ramadan akan bermula 20 Julai ini, nyata berbeza daripada organisasi terbesar Islam di negara itu, Nahdlatul Ulama yang menetapkannya pada 21 Julai.

Kerajaan akan mengadakan mesyuarat esok bagi memutuskan tarikh permulaan Ramadan, ketika semua organisasi Islam di negara itu bersedia dengan pendapat masing-masing bila umat Islam akan mula berpuasa.
Buat kali pertama dalam sejarahnya, Muhammadiyah tidak akan menghantar wakil ke mesyuarat itu, mengatakan ketidakhadirannya akan mengurangkan ketegangan.

Muhammadiyah juga telah menetapkan cuti hari raya Aidilfitri pada 19 Ogos depan.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Keagamaan, Nasaruddin Umar menyeru Muhammadiyah supaya memikirkan semula keputusannya agar menghadiri mesyuarat mengenai Ramadan itu. “Kami menyeru Muhammadiyah supaya menyertai mesyuarat itu,” katanya kepada wartawan di Malang, Jawa Timur.

Nasaruddin berkata, mesyuarat itu amat penting untuk menyelesaikan perbezaan antara organisasi Islam dan juga memperoleh keselarasan dalam tarikh bila umat Islam akan mula berpuasa.

Catat Ulasan

0 Ulasan