Pengurus JDT II On Jabbar Digantung 20 Tahun

Pengurus JDT II On Jabbar Digantung 20 Tahun

Bekas pengurus Johor Darul Ta'zim II (JDT II), On Jabbar dikenakan hukuman gantung selama 20 tahun daripada sebarang akitiviti bola sepak dan denda RM50,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas mengaku bersalah mengasari pengadil pada aksi Liga Perdana, 19 April lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufik Abdul Razak berkata, keputusan dibuat selepas mempertimbangkan rayuan On.

Selain itu, kami juga melihat semula video perlawanan antara JDT II dan UiTM FC di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Baharu, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Wisma FA, di Petaling Jaya, hari ini.

"Kita telah bincangkan perkara ini dengan begitu panjang lebar dan mengambil kira rayuan On dan kita memandang kesalahan berkenaan adalah satu perkara yang serius," katanya.

Dalam kejadian itu, On didakwa menumbuk muka pengadil, Sukri Abd Rahman selepas tamat perlawanan yang berkesudahan seri 2-2. - Bernama




Catat Ulasan

0 Ulasan