GST ( Good and Service Tax) yang diperkenalkan di Malaysia pada 1 April 2015 umpama April Fool sememangnya telah mula membunuh rakyat ini.
Setelah sebulan lebih ia dilaksanakan maka kita dapat melihat kelemahan-kelemahan yang ketara dalam GST ini.
Pada dasarnya aku tidak langsung menolak GST ini kerana ia juga diamalkan di negara lain tetapi ketelusan dan pengawasan yang dilakukan oleh Malaysia amat lemah dan penuh dengan lubang-lubang maut yang membunuh rakyat.
Lubang-lubang maut yang aku maksudkan pengawalan harga bukan GST yang naik secara melampau hingga menutup pintu rezeki kami terutama kelas menengah. Dan GST yang dikenakan pada barangan yang tidak patut dikenakan GST ini.
Dalam kelas manusia terdapat beberapa kelas iaitu kelas bawahan, menengah dan elit.
Dalam ciri kelas bawahan ( maaf agak kasar bunyinya) ialah kelas yang tidak bergantung secara langsung dengan ekonomi dimana mereka yang tinggal di kampung-kampung yang bercucuk tanam serta hidup kais pagi makan pagi.
Tetapi dalam kontek Malaysia, golongan ini secara amnya sudah hilang melalui Dasar Negara dahulu dipanggil Kemiskinan Mutlak tidak ujud lagi.
Melalui pembaikan sistem pendidikan dan ekonomi negara, kelas menengah semakin berkembang luas di Malaysia.
Kelas menengah inilah yang paling kuat impaknya dimana mereka mempunyai rumah dan kereta yang perlu dibayar kepada bank, suami isteri yang bekrja dan makan diluar, anak-anak yang dijaga oleh pengasuh.
Bayangkan dengan gaji RM2800 dahulu, hanya cukup-cukup makan sahaja tetap apabila GST mula dilaksanakan perbelanjaan bertambah tetapi pendapatan kekal.
Dahulu, jika shopping beli bahan keperluan dianggarkan RM300 untuk 2 orang anak tetapi kini melalui GST, perbelanjaan bahan dapur bertambah kepada RM500 ( pertambahan RM200).
Hutang kereta dan rumah pula meningkat apabila kadar faedah baru-baru ini dinaikkan dimana pertambahan perbelanjaan RM300.
Perbelanjaan luar pula meningkat secara mendadak terutama kedai makan yang tiada GST menaikkan harga makanan sehingga 50%. Secara amnya perbelanjaan luar bertambah RM 200.
Jangan nasihat suruh kami masak di rumah sebab zaman sekarang ini suami isteri bekerja, dan bila balik rumah ada masa ke nak masak?
Total perbelanjaan tambahan RM700 sebulan dan melalui gaji yang sama dahulu pun, kelas menengah ini ikat perut maka macam mana mereka nak teruskan kehidupan sekarang ini.
Jangan nasihat kami suruh bekerja rajin, sebab kelas menengah ini pun memang dah kerja 12 jam sehari. Takkan nak suruh kami bekerja 16 jam sehari!!!
Belum lagi dikira top up, Astro serta pembayaran elektrik, air dan pelbagai lagi yang mempunyai GST.
Dan belum dikira minyak kereta/motor yang tidak menentu harganya kerana kita kini ikut harga pasaran yang perlu disuap setiap hari.
Tambahan lagi perbelanjaan buku-buku anak yang kena GST, setahu aku GST tidak dikenakan kepada buku tetapi tempoh hari aku beli buku kena pula GST.
Memang kehidupan kelas menengah di Malaysia sudahlah dahulu hampir lemas dan kini memang semuanya dah lemas.
Rakan-rakan aku ramai yang mengeluh terpaksa mengawal perbelanjaan mereka serta ada yang tak mampu nak membayar rumah kerana disebabkan perbelanjaan tambahan ini.
Anak-anak pula terpaksa di kurangkan perbelanjaan serta makan makanan picisan sahaja. Ibu bapa dah tak larat nak membeli ikan yang terlalu mahal. Kasihan....
Inilah realiti kehidupan kelas menengah Malaysia, kalau anda suruh menabung. Mereka memang tak boleh menabung sebab duit yang ada tak cukup!!!
Setiap bulan apabila dapat gaji, resah memikirkan bagaimana nak agih-agihkan wang supaya cukup hingga hujung bulan. Kerja berbelas tahun bukannya bertambah kaya tetapi bertambah miskin!!!
Sebab itu kebanyakan yang membangkang kerajaan adalah golongan kelas menengah. Kami memang terseksa sekarang ini. Kehidupan di Malaysia bukannya bertabah baik dari tahun ke tahun tetapi semakin parah..
Jenguklah dan lihatlah kami ini, cuba buat pemilihan selektif beberapa orang kelas menengah ini dan kaji kehidupan harian mereka.
Seperti yang saya katakan, kami tidak menentang GST tetapi kami menentang pelaksanannya yang terburu-buru. Dan apabila rakyat marhaen seperti kami luahkan perasaan, ada pula menteri yang tahap gaban melalut-lalut pula..hehehehehehe.
Apabila kita berada di atas dan dari kecil tak pernah mengenal kesusahan maka agak sukar memahami rakyat yang berada di bawah apatah lagi jika akar umbi asyik momokkan cerita-cerita palsu..inilah kelas elit Malaysia.
Kami risau jika kelas menengah ini tidak diuruskan dengan baik, ramai yang tidak mampu membayar hutang dan seterusnya jatuh bangkrap. Dan dengan jumlah yang besar kelas menengah di Malaysia ini, tak perlulah saya buat kira-kira impaknya pada ekonomi Malaysia nanti.
Saya bukan ahli politik tetapi berbicara tentang realiti yang berlaku pada kelas menengah Malaysia ini. Jika anda ahli politik, tumpukan pada kelas menengah ini kerana merekalah dalang segala hal polemik politik Malaysia. Biasalah apabila kita susah, ada pihak lain api-apikan memang cepat melenting...hehehehehee.
0 Ulasan