Muhyiddin hairan Ahmad Maslan, Najib tak faham anologi ‘esok pilihan raya’
OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
Published: 9 August 2015 6:04 PM
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semua mengerti yang esok bukanlah pilihan raya tetapi dengan segala permasalahan yang dihadapi parti maka kemenangan sukar untuk diraih.
Tan Sri Muhyiddin Yassin hairan dengan sikap Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan yang turut mendapat sokongan Datuk Seri Najib Razak kerana tidak memahami analogi “esok pilihan raya” yang sering digunakan.
Timbalan presiden Umno itu berkata, semua mengerti yang esok bukanlah pilihan raya tetapi dengan segala permasalahan yang dihadapi parti maka kemenangan sukar untuk diraih.
“Itu sebab saya kata, esok pilihan raya Umno akan kalah tetapi Datuk Ahmad Maslan kata esok tidak ada pilihan raya. Memanglah saya tahu. Itu bukan Bahasa Jawa. Bahasa Melayu Riau. Ketua penerangan saya pun orang Johor, faham bahasa Melayu-Riau.
“Memang tidak ada. Presiden parti kata pun tidak ada. Kecut perut kalau pilihan raya esok pasal graf kita semakin menjunam,” katanya sewaktu berucap merasmikan mesyuarat Pemuda Umno Bahagian Petaling Jaya Utara, di Petaling Jaya petang ini.
Muhyiddin berkata Umno perlu melihat realiti, terutamanya di Selangor walaupun dilanda dengan pelbagai kontroversi, parti Melayu itu masih tidak yakin untuk menang.
Katanya, Umno bukan saja dibelenggu isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tetapi isu semasa lain yang terus mencengkam kehidupan harian rakyat.
“Saya tanya balik ketua bahagian sewaktu Selangor goyang dengan pelbagai isu. Saya tanya kalau esok Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, Selangor boleh menang? Seorang pun tidak bersuara.
“Siapa orang Selangor kata geraf kita naik? Tiada seorang pun. Ia benar. Kita tak semakin baik. Bukan saja isu 1MDB, isu lain ekonomi, kos sara hidup, rakyat rasa tertekan, pendapatan mereka tidak meningkat, harga getah, kelapa sawit dan minyak jatuh.
“Rakyat masih rasa susah. Kita perlu selesaikan. Masalah cukai barangan dan perkhidmatan (GST), pengangguran. Apa lagi 1MDB dan lain-lain yang belum selesai. Isu itu membawa beban kepada kita,” katanya. – 9 Ogos, 2015.
0 Ulasan