Orang ramai boleh melihat anak panda gergasi betina yang dilahirkan semalam di Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC) di Zoo Negara selepas tempoh dua bulan.
Namun begitu Pengarah Zoologi dan Veterinar, Pusat Konservasi Panda Gergasi, Dr Mat Naim Ramli berkata, ia bergantung kepada keadaan ibu anak panda itu, Liang Liang sama ada akan melepaskan anaknya seketika untuk dibawa ke bilik pameran.
"Yang pasti selepas dua bulan, orang ramai boleh melihat anak panda ini tetapi ia bergantung bagaimana keadaan Liang Liang, kemungkinan ia akan melepaskan anaknya seketika untuk dikeluarkan ke bahagian pameran," katanya pada sidang media pengumuman rasmi kelahiran anak panda gergasi itu di Zoo Negara di sini, hari ini.
Menurut Dr Mat Naim, buat masa ini anak panda yang belum diberi nama itu dan disahkan betina adalah sihat dan sentiasa berada dalam pelukan ibunya.
Dalam pada itu pihak zoo sempat mengasingkan anak panda itu selama empat minit pada 6.45 petang semalam.
Pemisahan sementara itu bagi mengambil berat, mengukur panjang dan menentukan jantina serta memastikan anak panda itu berada dalam keadaan normal.
"Anak panda gergasi itu berada dalam keadaan sihat dengan panjang dari ekor ke kepala adalah 20cm, berat 175 gram dan setakat ini kami mengesahkan panda itu betina," katanya.
Dr Mat Naim berkata, selepas pemeriksaan dijalankan ke atas anak panda itu, pihaknya mengembalikan semula anak panda tersebut kepada ibunya.
0 Ulasan