14 Orang Terkorban Tembakan Di California

14 Orang Terkorban Tembakan Di California


Sekurang-kurangnya tiga penembak melepaskan tembakan di pusat golongan kurang upaya di California awal Rabu, mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang dan menyebabkan siri tembak-menembak di jalanan ketika polis memburu suspek.

Insiden berdarah ini merupakan kejadian terkini dalam siri tembakan berterusan di Amerika Syarikat yang memberi tekanan kepada Presiden Barack Obama untuk terus mendesak Kongres agar meluluskan undang-undang kawalan senjata yang lebih ketat.

Beberapa jam selepas serangan di Inland Regional Center di San Bernardino, polis tempatan terlibat dalam adegan tembak-menembak dengan suspek yang berada di dalam sebuah SUV hitam.

Twit dari Ketua Polis San Bernardino, Jarrod Burguan, menyatakan: “Suspek telah ditumbangkan, seorang anggota polis cedera. Butiran kejadian masih disiasat.”

Polis kini memburu tiga penembak yang telah mencederakan 17 orang, dan Sarjan Vicki Cervantes memberitahu wartawan seorang lagi suspek masih lagi bebas. Cervantes turut menyatakan seorang anggota polis lagi cedera ringan.

Satu mayat dan takungan darah dapat dilihat berhampiran sebuah SUV sarat dengan kesan tembakan peluru yang dikepung oleh beberapa kenderaan polis.

Pihak polis meronda kawasan sekitar dan memberi peringatan kepada penduduk setempat agar kekal berada di dalam rumah dan mengunci pintu.

Tragedi terburuk selepas Sandy Hook

Tragedi ini merupakan insiden tembak-menembak yang paling banyak meragut nyawa sejak 14 Disember 2012, apabila seorang pemuda membunuh 26 orang termasuk 20 kanak-kanak di sekolah rendah Sandy Hook di Newtown, Connecticut.

Burguan memberitahu wartawan, para penembak dilengkapi pistol panjang dan “mereka tiba dalam keadaan bersedia untuk melakukan apa yang mereka rancang, seolah-olah mereka berada dalam satu misi.”

Beliau menyatakan walaupun motif dan identiti para penyerang masih belum diketahui, mereka sekurang-kurangnya menjangkakan insiden ini merupakan situasi keganasan domestik.

Menurut Syerif San Bernardino, John McMahon, kesemua bangunan tempatan seperti mahkamah dan majlis tempatan telah ditutup dan kehadiran polis tela9h ditingkatkan di kawasan sekolah dalam usaha memburu suspek.

Tempat kejadian turut menerima kehadiran pasukan SWAT, bomba, dan ambulans.

Serangan tersebut mengambil tempat dalam auditorium Inland Regional Center, sebuah kemudahan dengan beberapa ratus orang pekerja yang bermatlamat membantu masyarakat yang berhadapan dengan masalah kurang upaya.

Catat Ulasan

0 Ulasan