Fara Fauzana Tinggalkan Hot FM

Fara Fauzana Tinggalkan Hot FM


Fara Fauzana, 36, menafikan tindakannya mengundurkan diri daripada Hot FM adalah bagi menyertai stesen radio lain.

Sedekad bersama stesen itu, Fara menjelaskan keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada muka baharu untuk membina nama dalam industri penyiaran tanah air.

"Nama saya sudah terlalu sinonim dalam dunia radio. Kadang kala saya berasakan seperti menjadi penghalang untuk bakat lain menonjol dalam dunia penyampaian radio.

"Jadi, lebih baik saya buka ruang itu kepada orang lain. Selain itu juga, saya dapat memberi ruang kepada diri sendiri untuk lebih mendekatkan diri kepada Tuhan," katanya pada sidang media yang diadakan, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul dan Pengurus Besar Kumpulan Rangkaian Radio Media Prima Berhad (MPB), Anida Tahrim.

Semalam, Seelan mengumumkan pengunduran empat penyampai radio itu menerusi siaran paginya. Selain Fara, turut meninggalkan stesen radio terbabit adalah Muhammad Azmir Selamat (AG), Mohd Khairul Ikhwan Rosli (Ikhwan) dan Khairu Norliza Khairudin (Liza).

Bagaimanapun, AG, Ikhwan dan Liza akan memulakan tugas di radio baharu milik MPB, bermula Mac depan. Pengumuman mengenainya akan diadakan tidak lama lagi.

Fara atau nama sebenarnya, Farah Fauzana Mohd Fadzil berkata, hasrat terbabit sudah dipendam sejak tahun lalu. Begitupun beliau mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatan pada 26 Februari ini, sempena genap usia 10 tahun pembabitannya di radio itu.

Pemenang tujuh kali berturut-turut trofi Penyampai Radio Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) itu berkata, beliau berbuat demikian bagi mendalami ilmu agama, memperluaskan bidang pengacaraan dan menyertai program kemasyarakatan.

"Pada usia mencecah 36 tahun ini juga, saya berasakan sudah tiba masanya untuk memberikan tumpuan kepada hal peribadi, termasuk memikirkan soal ibu bapa dan rumah tangga," katanya.

Mengaku sukar untuknya membuat keputusan terbabit, Fara berkata, seandainya ditakdirkan kembali ke arena penyiaran radio, pastinya beliau memberikan keutamaan kepada MPB.

Catat Ulasan

0 Ulasan