Ola Bola Kutip RM12Juta Dalam Masa 18 Hari

Ola Bola Kutip RM12Juta Dalam Masa 18 Hari


Kuala Lumpur: Filem Ola Bola terus memberikan prestasi yang membanggakan apabila kutipannya kian meningkat melebihi RM12 juta selepas 18 hari ditayangkan.

Naib Presiden dan Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar berkata, sejak ditayangkan pada 28 Januari lalu, jumlah penonton masih belum berkurangan, malah kekal kukuh di pawagam apabila jualan tiket sentiasa 'sold out'.

Selain itu, Ola Bola masih mengungguli carta top 10 Golden Screen Cinema (GSC) sejak ia ditayangkan.

Najwa berkata, pihaknya gembira dan bersyukur di atas sambutan hangat yang diterima.

"Syukur Alhamdulillah saya memang tidak menyangka atas sambutan penonton dan kutipan yang diterima semakin meningkat.

"Tema 'universal' yang ditampilkan mungkin antara sebab membuatkan orang ramai menonton filem ini.

"Dengan menghasilkan filem daripada pelbagai genre dan mengikut cita rasa penonton kami yakin dan berharap filem ini akan terus ditonton oleh semua lapisan masyarakat," katanya.

Najwa berkata, dengan menampilkan pelbagai pengarah dan pelakon di samping jalan cerita yang berkualiti terhadap setiap filem keluaran mereka diharap dapat menaikkan semula industri perfileman tempatan yang dilihat kian merudum.

"Saya rasa untuk akhirnya, kami berharap lebih ramai lagi rakyat Malaysia akan ke pawagam untuk menyaksikan filem Ola Bola," katanya.

Ola Bola diilhamkan daripada cerita sebenar mengenai kejayaan pasukan bola sepak kebangsaan ke Sukan Olimpik Moscow, Russia pada 1980.

Ia menampilkan barisan pelakon baru seperti JC Chee, Luqman Hafidz dan Saran Kumar selaku teraju utamanya.

Mereka turut dibantu pelakon berbakat besar seperti Bront Palarae, Frankie Lee, Marianne Tan, Eric Teng Shin Wang dan Lim Jian Wee.

Catat Ulasan

0 Ulasan