
Gara-gara status yang dimuat naik di akaun Instagramnya, pelakon jelita, Rozita Che Wan, 43, dihujani ucapan tahniah oleh peminat yang menyangka dia sedang berbadan dua.
Bagaimanapun isteri kepada pelakon Zain Saidin, 32, itu menafikan berita berkenaan, sebaliknya memberitahu kapsyen yang dimuat naik di akaun Instagramnya tidak membawa sebarang erti.
“Tidaklah, mana ada saya hamil. Kapsyen yang ditulis di akaun Instagram sekadar suka-suka sahaja. Tidak tahu pula orang lain ambil serius” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp semalam.
Rozita atau mesra di sapa Che Ta menegaskan, dia tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menambah bilangan cahaya mata selepas melahirkan anak pertamanya bersama Zain iaitu Aaisyah Dhia Rana, 1 tahun 4 bulan pada 1 November 2014.
“Buat masa ini belum ada sebarang perancangan untuk tambah ahli keluarga. Lagipun usia saya bukannya muda lagi,” ujar Che Ta.
Pelakon yang popular dengan drama Kiah Pekasam itu telah mempunyai dua orang anak lelaki, Ammar Effendy, 20, dan Aniq Ezzra, 18, hasil perkahwinan pertamanya.
Sementara, Aaisyah pula merupakan anak ketiga dan perempuan tunggal buat Che Ta hasil perkongsian hidup bersama pelakon Zain yang dikahwini pada 11 Disember 2013.
0 Ulasan