Pedofilia British yang menjadikan kanak-kanak Kristian miskin di Kuala Lumpur sebagai mangsa nafsunya, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan tempoh minimum 25 tahun.
Hakim Peter Rook yang membacakan keputusan, mengarahkan Richard Huckle menjalani 22 hukuman penjara seumur hidup secara serentak selepas mengaku bersalah merogol 22 kanak-kanak.
Huckle, 30, menggenggam tangannya seolah-olah berdoa ketika hakim menjatuhkan hukuman, namun tidak menunjukkan sebarang ekspresi ketika ia diumumkan. Seorang wanita di galeri awam bangun sambil menjerit "seribu kematian terlalu baik untuk anda" ketika Huckle dibawa pergi keluar mahkamah.
Rook berkata Huckle hampir pasti "memusnahkan hidup mangsanya selama-lamanya." Pesalah pedofilia itu sudah menghabiskan 488 hari dalam penjara, justeru berdepan baki hukuman lebih 23 tahun sebelum lembaga parol mempertimbangkan pembebasannya.
Dia mengakui melakukan sejumlah 71 kesalahan ke atas kanak-kanak ketika menyamar sebagai sukarelawan bekerja dengan masyarakat Kristian di ibu kota Malaysia itu.
"Anda mencari mangsa terlalu muda tanpa ada perasaan belas kasihan. Anda menyasar kanak-kanak miskin," kata Rook. Huckle menghantar gambar budak lelaki dan perempuan yang didera di laman web True Love Zone (TLZ), dengan mangsa termuda dipercayai berusia enam bulan.
0 Ulasan