Datuk Dr Haron Din Meninggal Dunia

Datuk Dr Haron Din Meninggal Dunia


Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din telah meninggal dunia di sebuah hospital di San Francisco, Amerika Syarikat pada jam 10.05 waktu Malaysia pagi ini.

Perkembangan terbaru itu disahkan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan menerusi laman Facebook beliau sebentar tadi.

Ketika dihubungi, Nasrudin memberitahu Astro AWANI: "Kami terima berita bahawa Tuan Guru Datuk Dr Haron Din telah kembali ke rahmatullah di Hospital Stanford University Amerika Syarikat.

"Difahamkan beliau meninggal pada jam 10.05 pagi waktu Malaysia. Kami di PAS Pusat mengucapkan takziah kepada keluarga Tuan Guru."

Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh itu menyifatkan pemergian Dr Haron satu kehilangan besar.

"Ia satu kehilangan besar bukan sahaja buat PAS, tetapi seluruh umat Islam di Malaysia," kata Nasrudin.

Sebelum ini, Dr Haron, 76, juga pengasas pusat perubatan Islam Darussyifa' Malaysia, ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut akibat komplikasi jantung.

Catat Ulasan

0 Ulasan