
Sehingga kini 50 negara mengesahkan penyertaan dalam program World #QuranHour pada 9 Zulhijjah (11 September) ini yang akan diadakan di negara masing-masing, sekali gus membuktikan tahap kesedaran membaca al-Quran masih tinggi dalam kalangan masyarakat Islam dunia.
Negara berkenaan antaranya Albania, Australia, Bangladesh, Belgium, Bosnia, Brunei, Bulgaria, Perancis, Turki dan banyak lagi, sekali gus menambah lagi bilangan lokasi iaitu 80 kawasan.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff berkata, program yang bakal diadakan serentak selama sejam mulai jam 9 pagi di seluruh dunia itu juga dijangka mampu menyatukan lebih 6,000 umat Islam di tanah air tanpa mengira perbezaan bangsa, darjat atau fahaman politik.
“Kita mahu umat Islam seluruh dunia kembali kepada al-Quran kerana ia kalam suci yang diturunkan Allah untuk dijadikan pembimbing ke jalan diredai.
“Pada hari berkenaan, kita mahu seluruh umat Islam bersama membaca, menghayati, memahami dan seterusnya mengamalkan ayat suci al-Quran,” katanya.
Katanya, pihaknya juga dimaklumkan 10 juta umat Islam di India akan turut bersama-sama membaca al-Quran ketika World #QuranHour berlangsung.
Pada masa sama, 14 negeri lain turut menganjurkannya di 630 lokasi tertentu membabitkan gabungan pelbagai pihak termasuk individu dan berkumpulan.
Beliau berkata, 9 Zulhijjah dipilih kerana pada ketika itu Padang Arafah di Makkah menjadi tumpuan jemaah haji.
0 Ulasan