Faiz Subri dinobatkan sebagai penerima Anugerah Puskas Fifa 2016

Faiz Subri dinobatkan sebagai penerima Anugerah Puskas Fifa 2016

Faiz Subri
Bolasepak Malaysia mencatatkan sejarah di arena antarabangsa malam tadi apabila Faiz Subri dinobatkan sebagai penerima Anugerah Puskas Fifa 2016 malam tadi di Zurich.

Sepakan pemain Pulau Pinang itu diundi sebagai jaringan terbaik dunia yang dihasilkan sepanjang tahun 2016 di arena bola sepak antarabangsa.

Faiz menerima anugerah Puskas 2016 di depan tetamu dari seluruh dunia.
Faiz menerima anugerah Puskas 2016 di depan tetamu dari seluruh dunia.

Kemenangan pemain berusia 30 tahun itu diumumkan oleh legenda bola sepak Brazil, Ronaldo dalam majlis gilang gemilang tepat jam 2.37 pagi Selasa 10 Januari 2017.

Faiz menewaskan dua pesaingnya Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan wakil tunggal wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela.

Sebaik saja namanya diumumkan sebagai pemenang, Faiz memeluk Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah yang turut menemaninya ke anugerah tersebut.

"Sejujurnya tidak terlintas di fikiran saya untuk berada pada tahap ini bersama bintang-bintang bola sepak bertaraf dunia di pentas yang luar biasa.

"Di sini saya ucapkan terima kasih kepada pengurusan pasukan Pulau Pinang, semua jurulatih, rakan-rakan sepasukan dan keluarga," kata Faiz yang membacakan ucapan dalam bahasa Inggeris melalui telefon pintarnya.

Berdasarkan undian, Faiz menerima sebanyak 59.46 peratus berbanding Marlone (22.86 peratus), Daniuska Rodriguez (10.01 peratus) dan lain-lain (7.68 peratus).

Undi ini dicampur dari pusingan pertama dan kedua.

Ketiga-tiga mereka terpilih ke pusingan kedua dari 10 pemain yang dicalonkan dari seluruh dunia termasuk pemain Argentina, Lionel Messi dan Neymar dari Brazil.

Jaringan itu dilakukan ketika membantu pasukannya, Pulau Pinang mencatat kemenangan 4-1 ke atas Pahang dalam saingan Liga Super.

Video jaringan yang dimuat naik oleh FifaTV di laman YouTube pada 21 November lepas telah ditonton lebih dua juta pelayar dari seluruh dunia.

RAI KEJAYAAN

Kejayaan Faiz disambut di seluruh negara khasnya di kampung halaman beliau, Pida 6, Jerlun, Kedah.

Kejayaan Faiz Subri diraikan di Pida 6, kampung beliau, bersama keluarganya. Turut serta Datuk Mahfuz dan Dr Ismail. Gambar FB Dr Ismail Salleh.
Kejayaan Faiz Subri diraikan di Pida 6, kampung beliau, bersama keluarganya. Turut serta Datuk Mahfuz dan Dr Ismail. Gambar FB Dr Ismail Salleh.

Catat Ulasan

0 Ulasan