Bapa Watson Nyambek Di Hina Sebagai Kambing

Bapa Watson Nyambek Di Hina Sebagai Kambing

Bapa Watson Nyambek Di Hina Sebagai Kambing
Bekas pelari pecut kebangsaan Watson Nyambek hari ini membuat laporan polis berikutan tindakan biadab pengacara rancangan komedi terbitan sebuah syarikat televisyen swasta yang menyamakan mendiang bapanya dengan binatang.

Watson tiba di pekarangan Balai Polis Pusat Miri pukul 9.20 pagi ditemani isterinya  Felliza Michael Samdon serta lebih 20 orang yang mewakili 10 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) terus memasuki  balai untuk membuat laporan polis pada 9.58 pagi.


Sejurus  selesai membuat laporan polis, Watson, 41 yang kini menjadi jurulatih sukan sepenuh masa, berkata laporan polis dibuat untuk membolehkan siasatan dijalankan ke atas stesen televisyen, penerbit dan pengacara rancangan komedi itu.

"Perkara ini telah mengaibkan saya dan keluarga saya, tindakan tegas perlu diambil, saya mahu polis siasat motif sebenar mereka bertindak demikian," katanya.
Beliau  berkata walaupun permohonan maaf telah  dibuat secara terbuka namun laporan polis tidak akan ditarik balik memandangkan kesalahan dilakukan oleh pihak terbabit amat serius dan sukar baginya untuk memaafkan tindakan biadab pengacara berkenaan.

Watson berkata beliau tetap akan meneruskan tindakan  undang-undang dan tidak akan berunding walaupun pihak televisyen swasta berkenaan berhasrat untuk bersemuka dengannya di sini.

Beliau juga menyatakan hasrat untuk menyaman malu syarikat televisyen swasta tersebut dan akan mencari peguam yang bersedia untuk membantunya.



Semalam Watson meluahkan rasa kecewa serta berang selepas menonton rancangan tersebut di sebuah hotel di Sibu jam 11.15 malam pada Sabtu lepas apabila seorang pengacara lelaki mengejek nama mendiang bapanya yang juga bekas anggota polis dengan bunyi binatang.

Luahan Watson mendapat reaksi serta perkongsian ratusan netizen yang mahu Watson menyaman stesen televisyen berkenaan serta mengutuk tindakan rancangan tersebut yang menghina bapanya.

Watson yang memegang rekod kebangsaan 100m iaitu 10.30 saat selama 18 tahun sebelum dipecahkan Khairul Hafiz Jantan yang melakukan 10.18s pada Sukma Sarawak tahun lepas, diisytiharkan muflis selepas gagal membayar balik pinjaman bank yang digunakan untuk menanggung kos perubatan bapanya yang menderita barah telinga.

Bagaimanapun, beliau dibebaskan daripada status muflis selepas kerajaan Sarawak membayar balik tunggakan pinjaman sebanyak RM80,000 itu.


Bapa Watson Nyambek Di Hina Sebagai Kambing

AMMAR MOHON MAAF

Pengacara sebuah rancangan komedi televisyen tempatan, Azizul Ammar Abu Hassan hari ini tampil memohon maaf ekoran tindakannya mempersenda nama mendiang bapa bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek.

Azizul dikatakan menyamakan mendiang bapa Watson dengan binatang menerusi sebuah rancangan televisyen, semalam.

"Dengan rasa rendah diri, saya ingin memohon maaf atas keterlajuran saya terhadap Watson dan keluarganya.

"Tanpa sedar kami telah mencalar nama baik mendiang bapanya," katanya menerusi kenyataan di Intagramnya, hari ini.


Menurut Azizul lagi, dia sangat menghormati atlet terkemuka tanah air itu yang telah mencipta dan mengharumkan nama Malaysia hingga ke peringkat antarabangsa.

"Saya juga mengucapkan rasa terima kasih terhadap komen dan teguran yang diberikan oleh semua pihak.

"Segala panduan dan teguran akan dijadikan panduan buat saya menjalankan tugas di depan hari dan saya akan lebih peka dalam menjaga sensitiviti masyarakat pada masa akan datang.

"Sekali lagi saya mohon maaf kepada semua dan akan pastikan kesilapan ini tidak akan berlaku lagi," katanya lagi.

Catat Ulasan

0 Ulasan