KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi, melancarkan manifesto Barisan Nasional (BN) mengandungi 14 akujanji sebagai tawaran kepada rakyat negara ini, untuk terus memberi mandat kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.
Manifesto bertemakan "Bersama BN Hebatkan Negaraku" itu menyentuh semua aspek kesejahteraan hidup masyarakat dan menjamin tiada siapa yang akan dipinggirkan bagi menghadapi pelbagai cabaran, dengan mengambil kira keperluan semua negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.
Menerusi manifesto 14 akujanji itu, keutamaan diberikan kepada 'ekonomi keperluan rakyat' dalam usaha BN menangani peningkatan kos sara hidup, meningkatkan pendapatan isi rumah, meluaskan peluang pendidikan, pekerjaan dan perniagaan, menambah bilangan rumah mampu milik, memperbanyak latihan kemahiran dan keusahawanan, yang secara dasarnya dirancang berdasarkan pengalaman seharian rakyat.Akujanji BN antara lain menjamin daya tahan ekonomi negara akan diperkukuhkan, supaya ruang untuk rakyat mendapat akses kepada peluang ekonomi dan pekerjaan berpendapatan tinggi terus dipertahankan.
Akujanji lain, menyentuh mengenai perumahan, modal insan dan pendidikan, keselamatan rakyat, wanita, generasi muda, warga emas dan orang kelainan upaya, pembinaan negara bangsa, kesejahteraan sosial dan kualiti hidup rakyat, infra rakyat, agenda Bumiputera dan kesyumulan Islam, tadbir urus serta merapatkan jurang.
Semua akujanji yang digariskan di dalam manifesto menjamin bahawa tiada pihak yang akan dipinggirkan daripada dasar Barisan Nasional termasuklah golongan muda, kanak-kanak, wanita, Bumiputera, penduduk di Sabah dan Sarawak, pelajar, usahawan dan pekerja.
Pengerusi BN dalam ucapan pelancarannya menyifatkan PRU14 dianggap sebagai penentu takdir dan hala tuju masa depan Malaysia dan anak cucu keturunan rakyat.
"Pucuk pangkalnya saya dan rakan-rakan berikrar dan berjanji bahawa kita akan membangunkan negara ini, dari Perlis hingga Sarawak membawa ke Sabah, agar tidak ada apa pun satu pun kawasan atau rakyat yang akan ketinggalan atas prinsip "no one left behind" (tiada siapa yang dipinggirkan).
"PRU kali ini tidaklah boleh disifatkan sebagai satu pilihan secara peribadi. PRU ini bukan Najib Razak lawan ketua pembangkang, bukan BN lawan pembangkang. Soal pokoknya adalah penentuan bahawa mana satu pihak yang dapat menentukan setiap rakyat Malaysia akan mengecapi kehidupan yang lebih baik.
"Disebabkan itulah saya ingin menegaskan bahawa BN terus memperjuangkan untung nasib setiap rakyat, tidak kira keturunan, bangsa, agama mahupun darjat dan warna kulit. Di sisi BN, setiap rakyat adalah penting," katanya berucap melancarkan manifesto setebal 220 muka surat dan mengandungi 364 inisiatif itu.
Najib berkata, akujanji di dalam manifesto bermula dengan memberi keutamaan kepada ibu dan wanita, dengan meletakkan golongan itu di tempat paling tinggi dalam masyarakat.
Katanya, ia melambangkan komitmen BN untuk memperkasakan wanita sebagai isteri, ibu, anak dan wanita bekerjaya supaya dapat mengimbangi peranan golongan itu sebagai suri rumah tangga dan mengejar kerjaya masing-masing.
Akujanji kedua adalah kediaman 1Negaraku kerana BN berazam untuk membina rumah kediaman sempurna dan selesa yang mampu dimiliki oleh rakyat.
"Kita akan memperkasakan lagi program perumahan melalui satu langkah baharu iaitu mewujudkan sebuah agensi perumahan negara, sebuah super agensi di bawah satu bumbung untuk membangunkan program perumahan seluruh negara dan menentukan pembiayaan kepada bakal pemilik rumah," katanya.
Akujanji ketiga, BN berjanji mewujudkan tiga juta peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Sebagai 'hadiah' kepada rakyat Sabah dan Sarawak, Najib memberi jaminan akan memberikan tumpuan khusus kepada kesejahteraan rakyat di kedua-dua negeri itu memandangkan kedudukannya sebagai simpanan tetap kepada BN.
BN juga akan memberi keutamaan kepada asas infra rakyat dengan melaksanakan projek MRT2, MRT3, LRT 3 dan pelbagai lebuh raya di seluruh negara.
Akujanji juga mengambil kira keperluan digital negara dengan memperkasakan penggunaan teknologi digital melalui Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ), selain berjanji memberi keutamaan dan sokongan kepada barangan perusahaan buatan Malaysia.
Turut disentuh, ekonomi kehidupan rakyat, khususnya untuk meningkatkan gaji minimum, memperkasakan sistem pendidikan negara sesuai dengan masa depan dalam konteks Revolusi Industri Keempat untuk melahirkan lebih ramai generasi mahir dalam bidang teknologi maklumat.
Bagi meningkatkan kualiti hidup, Najib bercadang melaksanakan kerjasama awam swasta dalam sektor kesihatan supaya rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan berkualiti.
BN juga memberi jaminan agar rakyat Malaysia dapat tinggal dalam sebuah negara yang aman dan selamat dengan berjanji memerangi ideologi ekstremisme dan jenayah.
Bagi pewaris Transformasi Nasional 2050 (TN50), Najib berkata manifesto khas untuk orang muda akan dilancarkan pada 10 April ini, memberi jaminan golongan berusia 30 tahun ke bawah mendapat peluang pekerjaan dan latihan sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan selepas tamat belajar.
BN juga terus bertekad meneruskan agenda Bumiputera sebagai agenda nasional dan meningkatkan kesyumulan agama Islam.
Ketika mengakhiri majlis pelancaran manifesto itu, Najib membacakan lafaz ikrar BN yang beliau bersama barisan kepimpinannya akan menunaikan segala yang dijanjikan di dalam manifesto itu.
"Saya bersama barisan kepimpinan akan menunaikan segala yang dijanjikan di dalam manifesto ini dan tidak akan sekali-kali membenarkan sesiapa menghancurkan negara kita Malaysia kerana ini adalah aspirasi rakyat. Pastinya kerajaan BN akan terus menggalas amanah ini demi anak cucu kita kelak generasi TN50," katanya.
LAMAN WE RASMI MANIFESTO BN
LAMAN WE RASMI MANIFESTO BN
0 Ulasan