100 CAWANGAN KFC TUTUP DAN AKUR KUASA BOIKOT

100 CAWANGAN KFC TUTUP DAN AKUR KUASA BOIKOT

 

100 CAWANGAN KFC TUTUP DAN AKUR KUASA BOIKOT

Selepas 51 tahun bertapak di Malaysia dengan premis sulungnya terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, cawangan rangkaian makanan segera itu ditutup buat sementara waktu.

Menerusi satu kenyataan, pemegang francais KFC Malaysia, QSR Brands (M) Holdings berkata, “langkah proaktif” itu sebagai tindak balas kepada keadaan ekonomi mencabar.

Tanpa menyatakan jumlah cawangan yang ditutup, katanya, keputusan itu juga cara untuk menguruskan peningkatan kos perniagaan, selain memberi tumpuan kepada zon perdagangan tinggi.

Malah, syarikat itu berkata, KFC Malaysia telah menyumbang secara positif terhadap ekonomi Malaysia melalui jaminan pekerjaan untuk 18,000 orang di Malaysia dengan kira-kira 85 peratus adalah petugas Muslim.

“Pekerja dari cawangan yang terjejas telah ditawarkan peluang untuk berpindah ke kedai yang beroperasi sebagai sebahagian daripada strategi taktikal untuk mengoptimumkan sumber dalam zon perdagangan dengan penglibatan pelanggan yang lebih tinggi.

“Menyumbang secara positif kepada masyarakat Malaysia, memelihara kecintaan jenama terhadap KFC dan melindungi pekerja jenama itu semuanya menjadi keutamaan kepada organisasi,” katanya.

QSR Brands juga tidak menyatakan bilangan pekerja yang terjejas ekoran langkah penutupan cawangan KFC terbabit.

QSR Brands menjadi antara pembayar cukai terbesar di Malaysia dan berbangga kerana dapat memberi kembali kepada masyarakat melalui KFC Add Hope dan Dana Zakat Wakalah.

“Kami amat percaya rakyat kami akan mengiktiraf kehadiran kami, keikhlasan kami dan kerja keras kami dalam menyumbang kepada ekosistem Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, laporan akhbar harian berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau mendakwa cawangan di Kelantan paling banyak terjejas sehingga 21 cawangan ditutup sementara, manakala Johor 15 cawangan.

Mengikut data Google Maps, Nanyang Siang Pau turut mendakwa 108 cawangan KFC telah ditutup buat sementara waktu.

Dalam masa sama, Singapore Straits Times memetik sumber tanpa nama daripada QSR Brands mengaitkan penutupan itu berpunca daripada kesan boikot orang awam dan ia boleh dilihat sebagai peluang untuk menghentikan beberapa operasi cawangan KFC.

QSR Brands yang kini dimiliki oleh Johor Corporation iaitu syarikat milik kerajaan negeri Johor mengendalikan lebih 780 restoran KFC di Malaysia.

Dalam laporan media pada 2018, QSR mempunyai 62 ladang ternakan ayam dengan 34 daripadanya ketika itu adalah ladang ternakan secara kontrak dengan penternak tempatan




Catat Ulasan

0 Ulasan