AWIE kaki pukul, Awie gangster, Awie panas baran, Awie kaki gaduh, Awie kaki perempuan dan bermacam-macam lagi jolokan yang menjurus kepada perilaku ganas dan samseng tercalit di muka vokalis Wings, Ahmad Azhar Othman.
Sebagaimana yang diketahui umum, Awie pernah dikaitkan dengan insiden pergaduhan di sebuah kelab malam di Pulau Langkawi pada 2012. Tidak lama sebelum itu, Awie juga pernah didakwa bertumbuk di sebuah kelab malam di Ipoh, Perak.
Sering dilabel jahat, malah jolokan yang pernah diterimanya itu barangkali satu penawar yang membuatkan Awie, 46, tenang bahkan mampu tersenyum ketika pertuduhan ke atasnya dibacakan di Mahkamah Majistret Ampang, Jumaat lalu.
Umpama menangkis gerombolan awan hitam, dugaan yang sedang ditentang pelantun Tragedi Oktober itu sebenarnya lebih teruk berbanding kes sebelum ini. Lebih memburukkan keadaan, kali ini Awie didakwa mencederakan dan bertindak ganas terhadap isterinya sendiri, Rozana Misbun, 36.
Semuanya bermula apabila tersebarnya desas-desus mengatakan seorang rockers otai memukul isterinya di sebuah bank. Selepas dipanggil memberi keterangan kepada polis dan seterusnya ke mahkamah Jumaat lalu, episod pengadilan ke atas Awie pun bermula.
Pertuduhan ke atas Awie yang didengar di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman itu menyaksikan satu pertuduhan yang berat. Bapa kepada lima cahaya mata itu dibicarakan bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Awie mengaku tidak bersalah atas tuduhan memukul isterinya, Rozana. Mahkamah menetapkan 11 Ogos depan untuk sebutan semula kes berkenaan. Jika sabit kesalahan, Awie boleh dipenjara tujuh tahun maksimum dan denda.
"Kejadian seperti ini untuk orang terpilih sahaja. Alhamdulillah benda ini terjadi kepada saya, bukan kepada keluarga isteri saya.
"Masyarakat mungkin sudah lali dengan anggapan jahat terhadap diri saya, bukan kepada keluarga isteri saya. Saya terima tuduhan yang dibuat oleh isteri saya tetapi mahkamah yang akan menentukan segalanya," komen Awie berhubung pendakwaan yang dibuat ke atasnya itu.
Enggan mengulas lanjut ketika bersemuka dengan wartawan di mahkamah, Awie bagaimanapun berkongsi perasaannya dalam satu kiriman mesej yang dihantar kepada seorang rakan wartawan.
"Jangan adili manusia selagi tiada kepastian yang nyata dan cerita yang sebenarnya. Berjayanya seorang lelaki pasti ada seorang wanita di belakangnya, kalau dalam kes saya sekarang, nak dikategorikan apa ya? Wallahualam," tambah Awie seperti berseloroh.
Awie dan Rozana berkahwin pada tahun 2005. Sepanjang perkahwinan, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata. Awie pernah berkahwin dengan penyanyi Arni Nazira pada Disember 1998 sebelum bercerai pada Oktober 2006.
0 Ulasan