Keputusan UPSR 2014 Merosot

Keputusan UPSR 2014 Merosot

Keputusan UPSR 2014 Merosot
Pencapaian keseluruhan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 menurun sebanyak 0.02 Gred Purata Nasional (GPN) daripada tahun 2013.

GPN pada 2013 ialah 2.27 mata manakala GPN tahun ini 2.29 mata. Nilai GPN lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof semasa mengumumkan analisis keputusan UPSR di kementerian itu di Putrajaya hari ini, berkata calon yang mendapat keputusan cemerlang semua gred A tahun ini ialah sebanyak 36,304 orang.
umlah itu ialah 7.89% daripada 460,407 calon yang menduduki peperiksaan.

Pencapaian itu juga menurun sebanyak 1.26% berbanding 2013 yang mencatatkan 42,646 calon mendapat keputusan cemerlang semua gred A, katanya.

Di Sarawak, sebanyak 1,862 calon berjaya mencapai keputusan cemerlang A dalam semua mata pelajaran yang diduduki mereka, menurun 0.08% berbanding 1,916 orang pada tahun lepas.

Pengarah Pendidikan Negeri Serina Sauni berkata jumlah sekolah mencatat pencapaian 100% kelulusan bagaimanapun meningkat kepada 116 sekolah berbanding 84 sekolah tahun lepas.

Sementara itu, di Terengganu, Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Mohammed Embong berkata pencapaian GPN negeri meningkat sebanyak 0.06 mata iaitu 2.14 berbanding 2.20 pada 2013, dan jumlah ini mengatasi pencapaian peringkat nasional sebanyak 2.29.

Bagaimanapun jumlah pelajar mencapai keputusan cemerlang semua A dalam semua mata pelajaran menurun sebanyak 1.90% atau 476 calon berbanding tahun lepas.

Tahun ini hanya 2,563 pelajar daripada 21,099 iaitu 12.10% yang berjaya memperolehi semua A berbanding 3,039 pelajar tahun lepas, katanya semasa mengumumkan analisis keputusan UPSR negeri itu di Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu di Kuala Terengganu.

"Berdasarkan analisis yang dibuat, faktor utama penurunan pencapaian calon mendapat semua A adalah disebabkan oleh pencapaian mata pelajaran Sains yang 1,286 orang atau 55.70% murid gagal mendapat A, bermakna mereka memperoleh 4A 1B," katanya.

Sementara itu, 49 daripada 377 sekolah di negeri itu berjaya memperoleh peratus semua A, dengan Sekolah Kebangsaan Bukit Tadok, Hulu Terengganu merupakan sekolah terbaik berdasarkan nilai Gred Purata Sekolah (GPS) sebanyak 1.23, katanya.

"Bagaimanapun, pencapaian keputusan UPSR pada tahun ini adalah terbaik dalam tempoh 14 tahun daripada segi pencapaian Baik (minimum C bagi semua mata pelajaran) dan menunjukkan peningkatan pencapaian Gred Purata (GP)," katanya,

Di Kelantan, pencapaian keputusan UPSR mencatatkan pencapaian membanggakan apabila mendapat GPN sebanyak 2.16 mata.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan Ab Aziz Abdullah berkata pencapaian GPN negeri itu menyamai pencapaian tahun lepas.

Sebanyak 3,600 calon negeri atau 11.15% daripada 31,987 calon yang menduduki UPSR tahun ini, memperoleh A bagi semua mata pelajaran yang diambil, katanya pada majlis pengumuman keputusan UPSR negeri itu di Kota Baru.

Di Perak, sebanyak 2,847 atau 7.6% daripada 37,479 murid yang menduduki UPSR lulus cemerlang dengan memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Pendidikan Negeri Mohd Idris Ramli berkata peratusan calon yang mencapai keputusan cemerlang itu bagaimanapun mengalami sedikit penurunan berbanding 8.49% tahun lepas.

Di Negeri Sembilan, sebanyak 1,833 atau 10.5% daripada 17,510 calon yang menduduki UPSR 2014 mencapai keputusan penuh 5A atau 7A.

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Pkharuddin Ghazali berkata dalam penguasaan semua A, jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar berkurangan daripada 4.4% kepada 3.5%.

Di Sabah, pencapaian pelajar yang mendapat semua A dalam peperiksaan UPSR meningkat 0.14% iaitu sebanyak 1,231 daripada 44,427 calon.

Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip memberitahu pemberita di Kota Kinabalu daripada segi GPN juga pencapaian calon UPSR Sabah meningkat dengan mencatat 2.71, berbanding 2.76 tahun lalu, dan adalah yang terbaik berbanding pencapaian dalam tempoh lima tahun.

Di Johor, jumlah pelajar yang mendapat semua A menurun 1.12% berbanding tahun lepas dengan 4,811 pelajar catat keputusan cemerlang.

Sementara itu di Selangor, jumlah pelajar mencapai keputusan cemerlang menurun sebanyak 1.63% berbanding tahun lepas dengan hanya 6,593 calon atau 7.76 peratus daripada 85,392 calon cemerlang.

Pengarah Pendidikan Negeri Zainuren Mohd Nor berkata GPN Selangor turut merosot 0.04% kepada 2.22% tahun ini berbanding 2.18% lebih kecil tahun lepas.

Di Kuala Lumpur, jumlah pelajar yang mendapat A dalam semua mata pelajaran menurun sebanyak 1.88% dengan hanya 1,681 calon yang mendapat keputusan tersebut berbanding 2,108 calon tahun lepas, menurut Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Datin Nawal Salleh.

Beliau berkata daripada segi GPN juga menurun sebanyak 0.05 mata iaitu 2.21 pada tahun ini berbanding 2.16 tahun lepas.

Di Kedah, peratus kelulusan keseluruhan meningkat sebanyak 2.19% dengan 2,831 daripada 34,623 calon UPSR memperolehi gred A dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Pendidikan Kedah, Datin Azuyah Hassan berkata GPN pula menurun kepada 2.29 berbanding 2.27 tahun lepas.

Di Melaka, pencapaian keseluruhan calon UPSR sedikit merosot dengan GPN 2.15 berbanding 2.13 tahun lepas.

Pengarah Pendidikan Melaka Datuk Md Rashid Hussin berkata pencapaian cemerlang turut menurun sebanyak 9.21%, iaitu hanya 1,242 calon daripada 13,714 calon pelajar berjaya memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran.

Bagi Pahang, sebanyak 2,257 calon atau 9.22% daripada 24, 491 calon yang menduduki UPSR mendapat keputusan cemerlang semua A, iaitu menurun 1.92% berbanding tahun lepas apabila 2,791 calon mendapat semua A, kata Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan negeri, Mohd Razali Mustafar.

Faktor penurunan pelajar mendapat 5A adalah kerana subjek Sains yang dikatakan agak sukar berbanding tahun lepas, katanya.

"Kami dapati sebanyak 1,169 pelajar tidak mendapat 5A sebab mendapat B untuk subjek Sains dan berdasarkan analisis awal dikatakan soalan subjek tersebut memerlukan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi, dan ini memerangkap pelajar daripada mendapat keputusan cemerlang," katanya.

Bagi Perlis, GPN yang dicapai adalah 2.41 mata, merosot berbanding tahun lepas sebanyak 2.37.

Pengarah Jabatan Pendidikan Perlis Dun Kasa berkata daripada 4,029 calon yang menduduki peperiksaan itu, sebanyak 291 murid mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

"Pencapaian sekolah luar bandar agak memberangsangkan apabila 150 murid mendapat semua A dalam mata pelajaran yang mereka ambil berbanding 141 murid sekolah kawasan bandar," katanya pada sidang akhbar di Kangar.

Sementara itu keputusan UPSR di Pulau Pinang memuaskan dengan GNP 2.17 berbanding Gred Purata Nasional 2.29, bagaimanapun jumlah yang mendapat semua A menurun.

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sharifah Bee Aboo Bakar berkata jumlah itu menurun 1.36% berbanding tahun lepas, apabila tahun ini hanya 2,335 daripada 23,629 murid yang menduduki UPSR mencapai keputusan Cemerlang A dalam semua mata pelajaran berbanding tahun lepas sebanyak 2,722 calon.


Catat Ulasan

3 Ulasan

Nadia Johari berkata…
tengok macam ramai dapat A
Tanpa Nama berkata…
Perkongsian yang bagus...
Aziela berkata…
Pencapaian sekolah anak saya merosot dengan teruk tahun ini.