Lagi Murid Sekolah Dikasari Guru

Lagi Murid Sekolah Dikasari Guru

Lagi Murid Sekolah Dikasari Guru
Nik Rohana melakonkan semula situasi anaknya dikasari guru terbabit dalam kejadian, kelmarin.
Seorang murid tahun lima di sebuah sekolah di bandar ini mengadu mengalami masalah pendengaran di kedua-dua belah telinganya selepas dikasari guru mata pelajaran Pendidikan Seni, di sini, kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, Nik Aizat Zulkarnain Mohammad, 11, mendakwa, kedua-dua telinganya ditepuk dari arah depan selepas guru terbabit tidak berpuas hati dengan hasil lukisannya.

Ibunya, Nik Rohana Mahmud, 49, berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu mengadu dikasari gurunya ketika dia dan suaminya, Mohammad Abdullah, 63, sedang berehat di rumah, kira-kira jam 8 malam kelmarin.

“Berikutan aduan anak saya, kami ke sekolah pagi ini (semalam) dan dalam pertemuan dengan guru lelaki terbabit, dia tidak mengaku mengasari anak saya, malah dengan tegas menyatakan ada pihak yang mahu menjatuhkan kariernya.

“Daripada cerita diberitahu anak saya, guru terbabit pernah mengajarnya ketika dia di tahun empat dan merupakan seorang guru yang tegas tetapi tidak pernah memukul atau mengasari anak saya serta murid lain sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Nik Rohana berkata, anaknya juga memberitahu, rakan sekelasnya turut menyaksikan kejadian itu namun tidak berani mengaku.

“Saya tidak kisah kalau anak saya lakukan kesalahan dan guru hukumnya untuk beri pengajaran tetapi perbuatannya mengasari anak saya ini tidak sepatutnya berlaku.

“Bagi mendapatkan keadilan dalam kes ini, kami membuat laporan kejadian ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa dan turut dapatkan laporan doktor bagi menghantar anak saya menjalani rawatan susulan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II),”katanya.

Dalam pada itu, bapa Nik Aizat Zulkarnain, Mohammad Abdullah berkata, dia terkilan n tindakan guru terbabit.

“Saya minta pihak berkuasa siasat kes ini dengan adil. Saya tidak mahu kejadian sama berulang kerana disebabkan perbuatan guru terbabit, anak saya takut ke sekolah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Catat Ulasan

0 Ulasan