Nasi lemak dianggap sebagai menu makanan sihat adalah subjektif kerana ia bergantung kepada faktor usia, jantina, pekerjaan dan rutin harian.
Pakar Pemakanan Sukan dari Universiti Malaya (UM), Dr Sareena Hanim Hamzah, mengakui hidangan warisan turun-temurun itu adalah diet seimbang dan lengkap kerana mengandungi karbohidrat, protein, lemak, serat serta kalsium.
Bagaimanapun, katanya, perakuan bahawa nasi lemak adalah makanan sihat bukan istilah 'pukul rata' kerana perlu mengambil kira kuantiti pengambilan, keaslian bahan masakan dan waktu hidangan.
"Ada pelbagai tafsiran mengenai pengagihan kuantiti kalori atau tenaga yang diperlukan, contohnya segelintir pakar berpendapat 30 peratus daripada sumber tenaga manusia adalah berasaskan hidangan sarapan.
"Dalam konteks ini, nasi lemak yang dihidangkan dengan telur, ikan bilis, timun dan santan asli diakui menu paling bersesuaian untuk menjana tenaga manusia.
"Justeru, antara faktor utama yang membezakan sama ada nasi lemak adalah makanan sihat atau sebaliknya adalah waktu pengambilan dan kuantitinya," katanya ketika dihubungi BH, hari ini. Beliau mengulas artikel majalah TIMES, Selasa lalu, yang menyenaraikan nasi lemak sebagai antara 10 sarapan sihat antarabangsa.
0 Ulasan