Tujuan Pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir
Kerajaan Negeri Melaka melanjutkan tempoh penutupan jalan bersempena dengan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir, kepada tiga hari bermula hari ini, berbanding setiap Sabtu sebelum ini.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata jalan yang terlibat akan ditutup selama 54 jam bermula 6 petang setiap Jumaat hingga 12 tengah malam Ahad.
Pelaksanaan penutupan dan perubahan jalan itu bermula dari Persimpangan Jalan Laksamana dengan Jalan Banda Kaba (di antara Bangunan Public Bank Banda Hilir dengan Bangunan Madonna) melalui Jalan Banda Kaba, Lorong Chan Koon Cheng dan Jalan Chan Koon Cheng sehingga Hotel Equatorial.
Rais berkata beliau yakin semua pihak termasuk Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan sedaya upaya memastikan lanjutan penutupan jalan ini memberi manfaat kepada rakyat.
"Saya tekankan sekali lagi bahawa usaha ini bukan untuk menzalimi mana-mana pihak, tetapi ia hanya untuk manfaat masyarakat bagi jangka masa panjang.
"Langkah ini juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk memastikan bandar Melaka sebagai bandar rendah karbon," katanya.
Kawasan Parkir Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir
Sebanyak 13 tapak parkir kenderaan telah disediakan sepanjang pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan selama 54 jam bermula petang Jumaat hingga 12 tengah malam pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit memaklumkan, 13 lokasi itu ialah di parkir Medan Samudera, parkir Plaza Mahkota, parkir Dataran Pahlawan (MBMB dan ‘basement’), parkir hadapan Hospital Mahkota, parkir Hotel Casa Del Rio dan parkir sepanjang jalan lampu isyarat Mahkota.
Selain itu, ia turut membabitkan parkir Padang Nyiru, parkir Tabung Haji, parkir hadapan Hotel Yellow Mansion, parkir sepanjang Jalan Gereja, parkir sepanjang Jalan Chan Koon Cheng dan parkir di sepanjang jalan Jonker Street (Jalan Hang Jebat).
Susulan penutupan itu, jelas beliau, terdapat dua laluan kontra telah dibuka iaitu bermula dari simpang Bangunan Madrasah Nurul Ehsan Banda Kaba hingga ke Jalan Bukit Cina (Simpang Puteri Hang Li Po).
“Manakala lokasi ‘No Right Turn’ berlaku di Simpang Jalan Melati, Banda Hilir,” katanya dalam satu kenyataan.
Terbaru ditutup bermula 6 petang Jumaat hingga 12 malam Ahad |
0 Ulasan