Singapura Mahu Boikot Malaysia

Singapura Mahu Boikot Malaysia

Sejak tercetusnya cadangan supaya Malaysia melaksanakan caj permit kenderaan asing (VEP) kepada rakyat Singapura yang masuk ke negara ini melalui tambak Johor, pelbagai suara mula kedengaran.

Ditambah pula dengan langkah kerajaan republik itu menguatkuasakan kadar baharu VEP mereka daripada RM54.10 kepada RM90 ke atas kenderaan negara ini, menimbulkan polemik baharu dalam isu ini.

Kekecohan ini berlaku dimulakan oleh kerajaan Singapura jua yang menaikkan kadar VEP pada Ogos yang lalu. 


Bila bercerita tentang tekanan, kenderaan Malaysia yang masuk ke Singapura juga mengalami kenaikan kos yang tinggi.

Malah persetujuan kerajaan melaksanakan VEP turut membangkitkan persoalan dalam kalangan rakyat Singapura sehingga timbul spekulasi di media sosial mereka mahu memboikot daripada memasuki Johor.

Satu akaun Facebook yang dipercayai milik seorang rakyat Singapura menggunakan nama Sean Pual menyeru rakyat negaranya untuk berhenti daripada memasuki Johor dan melihat kesan tindakan itu nanti.

Paparan skrin akaun itu mula menjadi viral dan seterusnya membangkitkan suara rakyat Johor.

Tidak kurang juga, di laman sosial, penduduk Kota Singa dan pemastautin tetap negara itu yang menetap di negeri ini dikatakan akan berhijrah ke Singapura sekiranya kerajaan Malaysia turut mengenakan caj VEP di sini.

Tempias kenaikan kadar tol dan pelaksanaan VEP didakwa membawa kepada tindakan berpindah termasuk menjual aset mereka di negara ini.

Ini diakui seorang warga Singapura yang hanya mahu dikenali sebagai Amy yang sudah lima tahun menetap di sini.

Katanya, meskipun mengakui selesa menetap di Johor, namun tindakan kedua-dua negara menaikkan caj tersebut menyukarkan individu sepertinya yang bekerja di Singapura namun menetap di Johor.

“Kebiasaan warga Singapura akan membeli-belah, bercuti di sini tetapi kalau ada VEP di Malaysia dan kenaikan kadar itu oleh kerajaan Singapura mungkin ia tidak berbaloi untuk terus menetap dan datang ke sini (Johor).

“Kiraan kewangan sama seperti berbelanja di Singapura malah ia lebih menjimatkan dari segi masa dan belian minyak akibat kesesakan di pintu masuk,” katanya.

Akuinya, keadaan di pintu masuk sama ada Tambak Johor dan Lebuhraya Kedua yang sesak pernah menyebabkannya terlewat ke pejabat dan dimarahi majikan.

“Ramai kawan-kawan senasib saya kini sedang mempertimbangkan untuk balik ke Singapura kerana orang kebanyakan seperti kami tinggal di luar bagi menyimpan sedikit wang dan aset.

“Bagi mereka yang memiliki aset dan hartanah mungkin akan pulang ke sini sebulan sekali atau menjual terus pemilikan kerana jika ia dibiarkan akan menjadi tumpuan penjenayah sekiranya tidak disewakan,” katanya.

Dilema sama turut diakui Amanda, 40, yang memaklumkan jika sebelum ini dia berbelanja $SG300 (RM780) sebulan untuk bayaran keluar-masuk Malaysia-Singapura setiap hari bekerja, kos berkenaan akan naik berganda jika perlaksanaan VEP oleh kerajaan Malaysia dan cadangan tol baharu di Singapura.

“Anggaran $SG800 (RM2,000) perlu dibelanjakan menerusi sistem baharu ini malah ia tidak berbaloi kerana perlu berdepan kesesakan, " katanya.

Catat Ulasan

0 Ulasan